| 
  |  |   |  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yakin rakyat negeri ini bersama kerajaan dalam menuntut hak air. Sehingga kini katanya, kempen ‘Kembalikan Hak Air Selangor’ telah  mencecah 50,000 tandatangan rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan.
 Sehubungan itu katanya, perhimpunan pada Ahad, 5 Disember ini akan diteruskan seperti dirancang.
 Menurut Khalid, rakyat diseru turun beramai-ramai ke Masjid Negara  bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan  Zainal Abidin di Istana Negara.
 Beliau juga turut menyatakan komitmen untuk hadir mengetuai perarakan tersebut.
 "Saya akan turun bersama-sama rakyat untuk berhimpun di Masjid Negara.
 
 “Jika perlu, rakyat akan bergerak ke Istana Negara untuk serah  memorandum untuk minta Yang di-Pertuan Agong beritahu Perdana Menteri  (Datuk Seri Najib Tun Razak)  supaya penswastaan air dihentikan.
 "Beri peluang kepada rakyat agar diberi harga yang munasabah," katanya.
 Himpunan itu merupakan kemuncak siri kempen membantah penswastaan air di Selangor, yang dianjur kerajaan negeri.
 
 Ianya juga sebagai desakan agar empat syarikat swasta air dibeli  semula dan diletak dalam satu badan milik kerajaan negeri untuk dikawal  urus.
 
 Melalui penghapusan penswastaan air, kerajaan negeri menjangkakan  tarif air mampu dikurangkan sehingga 12 peratus setahun dan mengekalkan  dasar pemberian 20 meter padu air percuma kepada isi rumah.
 Jika penswastaan diteruskan, rakyat negeri ini akan menghadapi kenaikan tarif air sehingga 27 peratus.
 Sebelum ini, kerajaan Selangor juga telah menghantar notis 14 hari  kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) agar  memberhentikan Program Tabung Budi kerana melanggar syarat perjanjian  konsesi air negeri.
 
 Jika gagal berbuat demikian, kerajaan negeri akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang. - HarakahDaily
 |  | 
No comments:
Post a Comment