Tuesday, December 7, 2010

Charles : Pengambil alihan industri air beri kesan positif kepada rakyat

SHAH ALAM,6 Dis – Rakyat Selangor akan menerima kesan positif sekiranya kerajaan negeri Selangor berjaya mendapatkan hak ke atas empat syarikat konsesi air melalui tawaran semula dengan kos RM6 bilion seperti yang dipersetujui oleh kerajaan pusat.

Menurut ahli parlimen Klang, Charles Santiago, ini merupakan berita baik bagi rakyat di negeri ini sekiranya kerajaan negeri berjaya mendapatkan kembali hak pengurusan air negeri.

Dalam masa sama, rakyat katanya bakal menikmati tarif air terbaru yang jauh lebih rendah berbanding yang ditawarkan Syarikat Bekalan Air Selangor atau Syabas sebelum ini.

“Rakyat negeri ini beruntung kerana mereka tidak perlu membayar lebih tinggi kerana tarif air yang tinggi tidak akan dilaksanakan,” ulas Charles.

Tambahnya, selain menikmati kadar tarif air yang rendah, keuntungan yang daripada penjimatan itu turut disalurkan untuk tujuan kebajikan rakyat sejujur dengan hasrat kerajaan negeri untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).


” Kita tidak ada beban pinjaman yang telah dibuat oleh pihak Syabas,Splash dan juga ABBAS,” tambahnya lagi.

Semalam menyaksikan lebih 15,000 rakyat berpakaian baju merah membanjiri ibu kota bagi menyertai himpunan aman ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’ anjuran kerajaan negeri.

Himpunan tersebut bagi menyampaikan bantahan mengenai kenaikan harga air yang dicadangkan oleh Syabas dengan restu kerajaan persekutuan Umno- Barisan Nasional (BN).

Ekoran dari itu, kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri dibenarkan untuk membuat tawaran semula dengan kos RM6 bilion.

Kerajaan negeri sebelum ini membuat tawaran untuk membeli aset air di Selangor dengan nilai RM5.7 bilion untuk kesemua syer-syer bukan milik kerajaan negeri dalam Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abbas.

Adalah difahamkan kerajaan pusat pula menawarkan RM9.7 bilion untuk mengambil alih aset keempat-empat syarikat berkenaan.

Tambahnya lagi, walapun berlaku perubahan dalam pengurusan industri air Selangor, pemberian 20 meter padu air percuma yang dinikamati oleh rakyat rakyat Selangor akan diteruskan.

” Apa yang saya dapat tahu daripada menteri besar, pemberian air percuma 20 meter padu seperti yang dinikmati rakyat selangor sekarang tetap akan dilanjutkan,” katanya lagi.

Namun begitu, Charles ketika dihubungi Selangorkini memberitahu, kesan negatif turut akan dirasai oleh kerajaan negeri sekiranya pengambilan hak air ini tercapai kerana Syabas mempunyai sejumlah hutang yang besar.

” Adakah Syabas akan menyatakan ‘ok’ tetapi siapa yang akan menanggung kesemua hutang mereka yang berjumlah berbilion ringgit dan ini juga antara masalah yang harus diputuskan,” ujar beliau.

Menurut Charles, keadaan ini seharusnya diputuskan antara pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri secara bersama. - SelangorKini

No comments:

Post a Comment