Wednesday, May 25, 2011

Nurul persoal kos naik taraf loji kumbahan naik 100 peratus

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi penjelasan tentang kenaikan kos menaik taraf loji rawatan kumbahan Pantai 2 dari RM500 juta kepada RM1 bilion.

Menurut Nurul Izzah, sebelum ini berdasarkan pertemuan pihaknya dengan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. dimaklumkan kos menaik taraf loji tersebut sekitar RM500 juta sahaja.

“Saya difahamkan kementerian di peringkat akhir menganugerah kerja-kerja penaiktarafan loji tersebut kepada kontraktor. Mengikut pengetahuan saya, tiada usaha tender terbuka dibuat bagi kerja penaiktarafan loji ini.

“Ini bermakna projek tersebut dibuat secara rundingan terus kepada kontraktor. Apa yang membimbangkan saya ialah projek tersebut akan dianugerahkan pada nilai kontrak RM1 bilion iaitu 100 peratus lebih mahal daripada anggaran pasaran,” katanya pada sidang media hari ini.

Malah, beliau menyeru kementerian terbabit untuk menjelaskan sama ada usaha tender dibuat untuk mendapat harga terbaik projek tersebut atau tidak.

“Saya mengalu-alukan usaha mengubah loji rawatan kumbahan berdasarkan teknologi kolam terbuka kepada loji berjentera sesuai dengan piawaian keselamatan terkini. Bagaimanapun, saya menyeru agar wang rakyat yang dibelanjakan untuk projek ini diuruskan dengan telus,” katanya.

Nurul Izzah (gambar) turut memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh sumber tertentu mengenai kenaikkan kos ini dan mendesak kementerian terbabit memberi penjelasan.

“Ini persoalan yang selayaknya saya tanyakan pada kementerian tersebut kerana ia melibatkan dana wang rakyat sebanyak RM1 bilion.

“Bila kami dapat tahu dari sumber-sumber tertentu, kami terus maklumkan kepada orang ramai. Jadi saya desak kepada pihak kementerian agar menjawab pertanyaan ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai projek ini, tampil ke hadapan dan berikan maklumat bagi menghentikan sebarang penyalahgunaan wang rakyat.

“Saya akan memantau secara dekat pelaksaan projek ini untuk memastikan rakyat di Lembah Pantai dan Malaysia secara amnya mendapat nilai terbaik untuk wang mereka,” ujarnya. - MalaysianInsider

No comments:

Post a Comment