Monday, May 30, 2011

HarianMetro:Punca hipertensi tidak diketahui

JAGA KESIHATAN...ramai yang tahu tekanan darah mereka dan bahaya hipertensi tetapi masih buat tidak endah.


RISIKO...gaya hidup moden, kurang aktif dan kurang menitikberatkan soal pemakanan membuatkan ramai berpeluang mendapat hipertensi termasuk remaja.

HIPERTENSI atau tekanan darah tinggi adalah antara masalah kesihatan yang sentiasa menunggu peluang untuk bersarang dalam badan kita.

Walaupun risikonya meningkat dengan pertambahan usia, tetapi ia juga boleh berlaku pada orang muda, termasuk remaja.

Berdasarkan maklumat daripada laman web Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM), wanita muda di bawah 50 tahun lebih ‘terlindung’ daripada mengalami hipertensi berbanding lelaki.

Namun, ia bukan bermakna wanita muda boleh bersenang hati kerana hipertensi boleh berlaku kepada sesiapa saja dan bukan sedikit wanita berumur di bawah 50 tahun yang terpaksa ‘berpantang’ akibat masalah ini.

Perkara ini diakui Presidennya, Prof Dr Sim Kui Hian, tetapi katanya, lebih banyak kajian diperlukan untuk membuktikan kesahihannya.

Ini kerana pada awalnya, pakar berpendapat ia disebabkan masalah organik (berkaitan dengan badan), tetapi kini ada kajian mendapati faktor psikososial mungkin menyumbang kepada fenomena lebih ramai lelaki muda mendapat hipertensi.

Selain itu gaya hidup moden, kurang aktif dan kurang menitikberatkan soal pemakanan membuatkan remaja juga berpeluang mendapat hipertensi. Jumlahnya mungkin tidak banyak, tetapi jika gaya hidup tidak berubah, tidak mustahil untuk mereka masuk dalam senarai pesakit pada awal usia 30-an.

Hampir 90 peratus kes tekanan darah tinggi tidak diketahui puncanya. Namun ada beberapa faktor risiko yang boleh mendekatkan seseorang kepada penyakit ini iaitu:

Umur - Semua orang boleh mengalami hipertensi, tetapi ia lebih kerap berlaku pada golongan tua berumur 50 tahun ke atas.

Keturunan - Walaupun ia bukan penyakit keturunan tetapi jika kedua-dua ibu bapa mengalami tekanan darah tinggi, anak mempunyai risiko sebanyak 50 peratus untuk mendapat masalah yang sama.

Jantina - Masalah ini lebih banyak dialami lelaki dan selepas berumur 50 tahun, perempuan mempunyai risiko yang sama dengan lelaki untuk mendapat hipertensi. Tetapi ada kajian mendapati selepas berumur 55 tahun pesakit hipertensi wanita lebih ramai.

Berat badan - Tekanan darah tinggi lebih kerap dialami individu yang gemuk dan pengurangan berat badan boleh menurunkan tekanan darah.

Pengambilan garam berlebihan - Sebenarnya garam mempunyai peranan yang sangat penting dalam kawalan tekanan darah, tetapi berlebihan garam boleh menyebabkan tekanan darah meningkat.

Bagi individu yang mempunyai kecenderungan mendapat tekanan darah tinggi, keadaan akan menjadi lebih teruk jika mereka makan makanan masin.

Tekanan - walaupun sehingga kini tiada bukti tetapi sesetengah kajian perubatan mendapati kaitan antara sesetengah tekanan dengan hipertensi.

Faktor lain seperti kurang aktiviti fizikal, merokok, menghidap kencing manis dan minum minuman beralkohol berlebihan.

Namun masalah besar yang dihadapi pakar perubatan ialah tidak ramai pesakit tahu mereka ada masalah hipertensi kerana ia tidak menunjukkan gejala walaupun tekanan darah meningkat tinggi.

Pun begitu, ada sesetengah orang mengalami gejala ringan seperti pening lalat, sakit kepala atau hidung berdarah. Bagaimanapun jika anda mengalami gejala ini, tidak semestinya ia disebabkan oleh hipertensi.

Justeru, luangkan masa untuk menjalani pemeriksaan tekanan darah kerana tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kerosakan salur darah ke jantung, penyempitan salur darah, strok, serangan jantung dan kerosakan buah pinggang jika ia dibiarkan berlarutan tanpa rawatan.

Sempena sambutan Hari Hipertensi Sedunia pada setiap 17 Mei, dengan tema Ketahui Angka Anda dan Beri Perhatian Pada Tekanan Darah, Dr Sim menasihatkan supaya kita memberi lebih perhatian kepada kesihatan dengan sekurang-kurangnya mengetahui tekanan darah masing-masing.

“Saya rasa ramai orang tahu tekanan darah mereka. Malah mereka juga tahu bahaya hipertensi, tetapi masih ramai yang buat tidak endah kerana menganggap ada ubat untuk merawat masalah mereka.

“Sikap ini sebenarnya sangat berbahaya kerana kita tidak tahu berapa lama mereka sudah mengalami hipertensi. Oleh kerana kerosakan organ yang disebabkan hipertensi berlaku secara perlahan-lahan maka kita tidak tahu bahaya yang menunggu.

“Memang ada ubat untuk hipertensi tetapi bukan semua pesakit patuh kepada jadual pengambilan ubat. Kebanyakan pesakit berhenti mengambil ubat apabila merasakan keadaan mereka bertambah baik atau menganggap sudah sembuh daripada hipertensi sedangkan ubat perlu diambil sepanjang hayat,” katanya.

Pada masa sama, wanita yang memegang peranan sebagai ‘menteri kesihatan’ juga perlu memberi perhatian kepada tekanan darah seisi keluarga, khususnya jika sejarah hipertensi sama ada ibu bapanya sendiri atau suami.

“Meskipun risiko untuk mendapat hipertensi di kalangan individu yang ada sejarah keluarga ini lebih tinggi, tetapi masih ada banyak cara boleh dilakukan untuk mencegahnya. Caranya ialah jaga berat badan (dengan menjaga makan dan kerap bersenam), kurangkan pengambilan garam, berhenti merokok dan selalu jalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Tekanan darah yang normal ialah kurang daripada 120/80 mmHg. Anda dikategorikan mempunyai hipertensi jika tekanan darah melebihi 140/90 mmHg. Di seluruh dunia dianggarkan tujuh juta orang meninggal dan 1.5 bilion menderita akibat hipertensi. Jadi, janganlah kita menambah kepada jumlah yang sudah cukup banyak ini.

Kini alat pengukur tekanan darah ada dijual di farmasi dan ia membolehkan kita mengukur sendiri tekanan darah di rumah. Antara panduan untuk mengukur tekanan darah ialah:

Pastikan gelung dilekatkan dengan baik pada lengan. Pilih alat yang mengukur tekanan darah di lengan kerana ia lebih tepat.

Bertenang ketika ukuran tekanan darah diambil.

Jangan minum minuman mengandungi kafein atau bersenam dalam masa 30 minit sebelum mengukur tekanan darah.

Duduk bersandar di atas kerusi, jangan silang kaki atau tangan kerana ia akan mempengaruhi tekanan darah.

Ambil beberapa bacaan dengan jarak masa seminit bagi setiap bacaan. Ini untuk mendapat bacaan yang lebih tepat.

Ukur tekanan darah pada masa yang sama setiap kali. Ini kerana tekanan darah kita turun naik dalam masa sehari dan biasanya ia tinggi pada waktu pagi selepas bangun tidur.

Rekodkan semua bacaan dan bawa rekod ini berjumpa doktor apabila diperlukan. - HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment