KUALA LUMPUR, 23 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan kegagalan pihak Syabas yang tidak membuat makluman awal berhubung gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar Lembah Klang sejak semalam sehingga esok.
Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya difahamkan gangguan itu berpunca dari aktiviti penyedia air untuk Syabas iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPALSH) yang melakukan penyelengaraan Sluice Valve dan juga Pam Air serta melakukan pembersihan loji rawatan air mereka.
Kesempatan itu juga, katanya digunakan oleh pihak Syabas untuk menambah baik sistem penyaluran air mereka.
“Jadi ianya nampak aneh apabila pihak Syabas menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor sebagai punca gangguan bekalan air ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
DPPWP juga, tambahnya merasa hairan kenapa sejak tahun 1997 Syabas mengambil alih pengurusan air melalui program penswastaan air sehingga kini, masih berlaku masalah gangguan bekalan air.
“Apakah selama 13 tahun ini Syabas hanya mengaut keuntungan dengan mengabaikan aspek penyelengaraan?” soalnya.
Ini, ujarnya jelas menunjukkan bahawa Syabas tidak layak untuk menguruskan aset air Negeri Selangor.
DPPWP juga, katanya merasa kesal kerana Syabas tidak memohon maaf kepada pengguna yang terjejas, sebaliknya hanya menuding jari kepada pihak Kerjaaan Negeri Selangor.
“DPPWP juga ingin bertanya apakah tindakan yang akan dilakukan oleh Syabas bagi membantu pihak peniaga yang terjejas akibat gangguan air ini.
“Syabas sepatutnya bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan terbaik mereka dan bukannya hanya tahu mengaut untung sahaja,” ujarnya.
Oleh sebab itu, katanya DPPWP menyokong penuh hasrat Kerajaan Selangor untuk mengambil alih pengurusan air bagi seluruh wilayah di Lembah Klang ini.
No comments:
Post a Comment