SHAH ALAM, 28 Julai (Bernama) -- Kapasiti pengeluaran air bagi 33 buah loji rawatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini berjumlah 4,326 juta liter sehari (JLH) berbanding purata permintaan sebanyak 4,197 JLH, kata Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Dato Lee Miang Koi.
Katanya ini menjadikan jumlah rezab simpanan air adalah hanya pada kadar tiga hingga lima peratus sehari (kira-kira 150 hingga 200 JLH).
"Populasi penduduk juga bertambah sejak enam tahun lepas dengan kadar 3.5 peratus setahun dan senario ini memerlukan pertambahan kira-kira 10 peratus rezab kapasiti air bagi menampung keperluan pengguna pada waktu puncak dan bagi mempercepatkan tempoh pemulihan sekiranya berlaku gangguan bekalan," katanya.
Lee juga tidak menolak kemungkinan tiga wilayah itu berdepan risiko krisis bekalan air yang kritikal pada 2012 atau lebih awal sekiranya langkah yang sewajarnya tidak diambil.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perbincangan meja bulat berhubung isu krisis bekalan air di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor di sini Khamis.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu berkata hasil perbincangan itu akan dikemukakan dalam satu memorandum untuk diserahkan kepada kerajaan pusat dan negeri terbabit untuk tindakan selanjutnya.
Turut serta dalam perbincangan itu ialah Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Md Khairi Selamat dan Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sumber Air Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) Zubaidi Johar.
No comments:
Post a Comment