Wednesday, October 19, 2011

Utusan Malaysia:Dokumentari jelaskan krisis air

PUTRAJAYA 18 Okt. – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hari ini menerbitkan sebuah video dokumentari bertajuk 2014: Satu Penjelasan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai krisis bekalan air.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, penerbitan video itu bakal memberi kefahaman kepada rakyat terhadap krisis air yang akan berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang 2014.

“Siri video ini melibatkan penjelasan daripada menteri sendiri, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Teo Yen Hua, Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Ahmad Zaidi Jamil dan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu.

“Tempoh masa setiap siri ini dianggarkan selama lima minit dan akan dimuat naik melalui laman sosial Youtube, blog menteri, Facebook dan laman web kementerian serta rangkaian sosial lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran video dokumentari tersebut pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Loo Took Gee dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kassim.

Fah Kui berkata, langkah penerbitan video di bawah Program Kempen Air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dapat menyebarkan maklumat mengenai kepentingan bekalan air bersih di wilayah berkenaan.

Terdahulu, beliau mengulas kegagalan beberapa siri perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor berhubung kemelut pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

“Kebuntuan tersebut berpunca daripada kedegilan kerajaan Selangor yang mahu mengaitkan projek Langat 2 dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai keputusannya bertanding jawatan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), beliau berkata, tindakan itu diambil di atas permintaan dan desakan berterusan yang diterimanya daripada kepimpinan peringkat akar umbi parti itu.

Namun, Fah Kui menambah, sekiranya terpilih, beliau akan memegang jawatan itu untuk tempoh tiga tahun sahaja.

No comments:

Post a Comment