Wednesday, November 2, 2011

HarakahDaily:Penjenamaan semula IWK merugikan

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berpendapat penjenamaan semula Indah Water Konsortium (IWK) adalah suatu yang merugikan serta akan menelan belanja yang besar tanpa membawa apa-apa kesan kepada operasi lain.

"Jelas penjenamaan tersebut tidak membawa kesan kepada operasi dan aliran tunainya kerana model perniagaannya tidak berubah, malah IWK telah pun bertukar tangan dan dijenamakan semula sebanyak lima kali sehinggalah diambil oleh kerajaan pada tahun 2000.

"Usaha untuk menjenamakan semula IWK adalah berbahaya kerana keseluruhan model dan operasi IWK telah dibuktikan tidak berdaya saing sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kos RM1.2 bilion sejak tahun 2000 melalui pelbagai bantuan kewangan," jelasnya yang juga Setiausaha Agung PKR pada satu sidang media di lobi parlimen petang tadi.


Tambahnya, lagi melalui dokumen yang diperolehi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bengkel Pelan Strategik Industri Perkhidmatan Pembentungan Negara bertarikh 29 Mac yang lepas itu secara jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak berniat untuk mencari jalan penyelesaian berkekalan malah sebaliknya hanya mahu menukar nama IWK kepada Syarikat Pembentungan Negara (National Sewerage Company atau Nascom) dan membubarkan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan.

"Cadangan pembubaran Jabatan Perkhidmatan Pembentungan juga mengesahkan sekali lagu kecenderungan Barisan Nasional untuk menghapuskan proses timbang tara san mewujudkan monopoli dalam perkhidmatan utiliti negara.

"Jabatan Perkhidmatan Pembentungan memainkan peranan penting untuk menyemak prestasi dan operasi IWK atau mana-mana syarikat konsesi. Jumlah tenaga kerjanya seramai kurang dua ratus orang adalah jauh lebih kecil berbanding tenaga kerja IWK maka tidak logik sekiranya jabatan ini dihapuskan atas alasan mengurangkan perbelanjaan," ujarnya.

Dalam pada itu beliau berharap menteri bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai perkara ini memandangkan ia membabitkan beban kewangan kepada rakyat dan nasib kakitangan awam yang diperjudikan demi keuntungan pihak-pihak berkepentingan.

"Memandangkan cadangan ini sudah sampai ke peringkat akhir dan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri saya berharap cadangan yang turut disahkan oleh Menteri Kewangan Kedua di dalam akhbar bertarikh 10 September yang lepas dan ia melibatkan soal tata kelola, nasib kakitangan awam yang diserap masuk ke badan swasta dan tanggungan kos yang tinggi kepada rakyat maka menteri dan juga kementerian yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan yang sewajarnya," tambah beliau lagi.

No comments:

Post a Comment