Friday, January 13, 2012

Utusan Malaysia:PKR Selangor perlu bantu selesai isu krisis air 2014

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor digesa mengutamakan kebajikan rakyat dengan menyelesaikan segera isu krisis bekalan air di negeri itu yang dijangka bertambah buruk menjelang 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana cadangan meningkatkan kapasiti bekalan air bersih sama ada menerusi menaik taraf loji-loji air sedia ada atau pembinaan loji rawatan baru yang dikemukakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) belum mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan negeri.

''Proses cadangan itu sudah berlarutan lebih daripada sepatutnya. Pokoknya bukan soal Kerajaan Pusat tidak mengambil langkah tetapi sikap Kerajaan PKR Selangor yang tak respons secepatnya.

''Kita minta mereka ambil kira kebajikan rakyat. Jika pentingkan soal rakyat maka kena buat keputusan cepat. Kalau tak buat keputusan segera, kita bimbang akan berlaku krisis air di Lembah Klang yang turut memberi kesan besar kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau perjalanan program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia di Wangsa Maju dan Setapak di sini hari ini.


Timbalan Perdana Menteri mengulas rayuan Syabas terhadap Kerajaan Pusat dan negeri supaya mencari penyelesaian segera bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terus menanggung derita akibat krisis bekalan air yang berlaku ketika ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Sumber Air Negara (MSAN) berkata, masalah bekalan air di Selangor dan Lembah Klang sudah beberapa kali diketengahkan namun segalanya bergantung kepada tindakan kerajaan negeri berkenaan.

''Dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pun sudah berbincang beberapa kali tetapi tiada penyelesaian. Jadi, fikirlah soal rakyat dan kalau tak selesai sekarang, krisis air akan berlaku,'' jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai status dua pesawat Bombardier Aerospace CL415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang didakwa tidak berfungsi dalam menjalankan operasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut.

''Ketua Pengarah, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish sudah memberi laporan. Tetapi ada sebab-sebab tertentu kerana ia melibatkan kos yang besar dan pihak Jabatan Perbendaharaan memerlukan masa lebih sedikit untuk menilai.

''Walaupun ada masalah, proses penguatkuasaan Maritim Malaysia tidak terjejas. Malah, dengan aset sedia ada, agensi itu telah berjaya menangani banyak kes,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment