Thursday, May 31, 2012

FreeMalaysiaToday:Langat 2 tidak guna wang kerajaan negeri Selangor

Bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo berkata, Selangor tidak mempunyai alasan menolak pembinaan projek loji air Langat 2 kerana ia tidak menggunakan wang kerajaan negeri walau satu sen.
Beliau menyifatkan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghalang pembinaan loji air Langat 2 ini merupakan sabotaj kepada ekonomi dan kewangan negara.

Katanya, kerajaan Persekutuan akan menanggung beban kewangan yang besar kerana terpaksa membayar faedah dan hutang kepada Japan International Cooperation Agency (JICA) yang berjumlah berbilion ringgit.

Pada masa sama, beliau menolak dakwaan jika loji air dibina, tarif air akan naik dan rakyat akan dibebani kos yang tinggi.

“Ini semua tidak lebih daripada manipulasi politik ala sosialis yang menguar-uarkan mantera perjuangan untuk rakyat menentang kerakusan kapitalis,” tambahnya.

Sebaliknya kata Dr Mohd Khir, menangguhkan projek loji air Langat 2 menyebabkan kos pembinaannya akan meningkat dengan lebih tinggi kerana kos pembinaan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

“Hakikatnya kos menguruskan air bersih di Lembah Klang sangat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit. Ia perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi sama ada melalui tarif air mahu pun melalui subsidi kerajaan yang akhirnya merupakan wang rakyat juga.,” kata Dr Mohd Khir.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga mendakwa Abdul Khalid tiada pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ini ingin menghalang pembinaan empangan ini.


`Ego politik’

Katanya, isu air di Lembah Klang tidak akan selesai selagi kerajaan negeri ditadbir Pakatan Rakyat mempolitikkan isu ini.

“Sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 menunjukkan kesungguhan beliau (Abdul Khalid) dan Pakatan untuk mempolitikkan isu ini.

“Yang saya fikir perlu rakyat lihat dan perhatikan ialah tindak tanduk Abdul Khalid ini akan menyebabkan kita akan menanggung beban kewangan yang lebih besar pada masa akan datang,” tambahnya.

Dr Mohd Khir berkata, pembinaan loji air Langat 2 tdak kena mengena dengan tarif air, sebaliknya projek kerajaan persekutuan untuk memastikan Lembah Klang tidak berhadapan dengan krisis air yang serius pada masa hadapan.

Menurutnya, sebahagian rancangan ini telah dilaksanakan di sebelah Pahang dan jika Abdul Khalid berterusan menghalang pembinaan loji ini bermakna sebahagian besar pelaburan musnah tanpa hasil.

“Mungkin kerajaan Persekutuan perlu menyerahkan projek pembinaan loji Langat 2 ini kepada kroni-kroni kerajaan negeri untuk mendapat kebenaran pembinaan ini.

“Mungkin itulah yang mereka mahukan pun. Projek yang dipersetujui dibatalkan sesuka hati hanya kerana ego politik kepartian.

“Apakah pelabur asing dan tempatan bersedia membuat komitmen jangka panjang dengan kerajaan jika mengetahui persetujuan dan perjanjian mereka akan sewenang-wenangnya dihalang atau dimungkiri oleh parti yang lain yang mungkin menang dalam pilihan raya,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment