Pengurusan air di negara ini dilihat semakin baik.
Bagaimanapun, apabila timbul isu krisis kekurangan air, rata-rata akan menuding jari kepada pengguna dan berkata mereka telah membazirkan air.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat, industri air gergasi, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Abdul Halim Mat Som berkata, penggunaan air telah meningkat manakala pengeluaran air masih pada tahap kekal.
"Ini mungkin disebabkan cuaca panas menyebabkan pengguna lebih kerap mandi, menyiram pokok dan habuk tebal menyebabkan orang ramai sering mencuci kereta mereka," katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Syabas menasihatkan pengguna agar berjimat cermat menggunakan air.
Belajar menggunakan air yang dikitar semula untuk bukan kegunaan harian dengan mempunyai bekas besar untuk menyimpan air di rumah, pengguna juga harus sedar tentang implikasi krisis air.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata dari sudut pandangan agama, sebarang bentuk pembaziran termasuk pembaziran air adalah satu dosa.
"Sebagai umat Islam, kita mesti mengamalkan penjimatan air dalam rutin harian kita tetapi apa yang menyedihkan hari ini, jika anda melihat orang Islam engambil wuduk untuk menunaikan solat, mereka akan menggunakan air berlebihan daripada yang sepatutnya," katanya.
Kajian yang dijalankan PPIM mendedahkan purata setiap orang mengambil wuduk menggunakan sehingga empat baldi air semata-mata kerana air di masjid dan surau boleh didapati secara percuma dan ingatan untuk berjimat cermat menggunakan air tidak pernah terlintas di fikiran mereka.
"Walaupun terdapat banyak kempen dan program kesedaran, mesej agar berjimat cermat dan bertanggungjawab terhadap penggunaan air tidak sampai kepada pengguna kerana banyak sebab terutamanya kerana sikap masyarakat kita terhadap air," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standard Users) Ratna Devi Nadarajan memberitahu Bernama pemain industri harus berhenti menuding jari kepada pengguna sebaliknya harus melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air bagi memulihkan keadaan air sekarang.
Beliau berkata di setiap negara, bekalan air dianggap sebagai keperluan asas manusia.
"Pemain industri boleh akses dokumen perangkaan tentang pertumbuhan penduduk dan perancangan bandar. Mereka seharusnya mempunyai perancangan lebih baik dan memperbaiki sistem air dan mula memperbaiki keadaan seperti krisis," katanya.
Ratna berkata pada masa ini pemilik rumah di Malaysia tidak wajib memasang sistem penuaian air hujan yang membolehkan air dikumpul, berbanding merawat air seperti sistem yang ada sekarang, untuk menyiram pokok dan tujuan sanitasi.
"Pada masa ini, menjimatkan air hanya boleh pergi setakat ini. Sudah tiba masanya untuk memperkenalkan sistem air baharu bagi memperbaiki keadaan dan selamatkan apa yang kita ada," katanya.
Selain sistem penuaian air hujan, Ratna berkata sistem tadahan air ribut juga boleh digunakan memandangkan Malaysia menerima hujan lebat setiap tahun terutama pada musim tengkujuh.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment