Wednesday, July 18, 2012

Mstar:Kumpulan Profesional Dihantar Teliti Operasi Harian Syabas - Abdul Khalid

Kerajaan negeri Selangor akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kumpulan itu dihantar kerana Syabas gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi Rabu.

Kumpulan tersebut dianggotai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Suhaimi Kamaruzaman, Pengarah Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) Abas Abdullah, Pengurus Besar Pengurusan Air Kumpulan Perangsang Selangor, Karim Endut dan Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan Perangsang Selangor, Kevin Lee.

"Kami yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, Rabu.


Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah menyediakan surat memaklumkan hasrat mengenai pengambilalihan Syabas kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Katanya, surat tersebut akan dihantar oleh ahli Exco, Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok secara peribadi kepada kementerian itu di Putrajaya pada pukul 11 pagi, Khamis.

"Kami berpendapat isu ini penting dan perlu diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor turut yakin bahawa penstrukturan semula industri air merupakan penyelesaian holistik dan menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

No comments:

Post a Comment