Thursday, August 16, 2012

FreeMalaysiaToday:MB S’gor arah Syabas tutup mulut

Kerajaan Negeri Selangor hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membuat sebarang kenyataan akhbar mengenai operasi air melainkan ia telah mendapat persetujuan pentadbiran negeri.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan dibuat berdasarkan perjanjian asal di antara kerajaan negeri dan Syabas di mana kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyelia operasi syarikat pengendalian air itu.

“Kita (kerajaan negeri) kini membuat keputusan di mana pengumuman mengenai pencatuan ataupun perkara-perkara mengenai isu air tidak memberikan perkhidmatan kepada pengguna hanyalah dibuat selepas mesyuarat harian yang dilakukan di antara Syabas dan kerajaan negeri.

“Syabas tidak lagi dibenarkan untuk membuat kenyataan-kenyataan akhbar mengenai operasi air ini melainkan setelah mendapat persetujuan kerajaan negeri.

“Ini kerana mengikut perjanjian, Syabas ialah operator pengendalian air kepada kerajaan negeri sebab kerajaan negeri dalam perjanjian tersebut mempunyai Pengarah kawal selia air yang menyelia tentang Syabas.


“Jadi oleh sebab itu kita sekarang melaksanakan semula perkara di dalam perjanjian tersebut. Jadi jika ada apa-apa pun Syabas akan menerangkan kepada jawatankuasa ini dan jika jawatankuasa ini setuju barulah langkah-langkah menangani masalah gangguan bekalan air boleh diambil,” katanya.

Anak murid

Sementara itu Khalid enggan mengulas kenyataan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong, yang mencabarnya berdebat mengenai penyelewengan RM1 bilion membabitkan urusan pengambilan hutang Talam Corporation (kini Trinity Corporation).

Tanpa memberikan sebarang alasan mengapa cabaran tersebut ditolak, Khalid sebaliknya mempelawa Chua untuk menjadi anak muridnya.

“Dia (Chua) boleh jadi anak murid saya apabila kita selesai dengan laporan audit.

“Apabila laporan audit dan kertas putih kita (mengenai Talam) selesai, saya sangat mengalu-alukan beliau menjadi anak murid saya kerana saya rasa ia bagus untuk dirinya yang penuh dengan perasaan ingin tahu,” kata Khalid.

Terdahulu Chua di dalam sidang media berasingan di Wisma MCA memberitahu yang beliau hanya ingin berdebat dengan Khalid dan bukan Ahli Exco termasuk pemimpin dari DAP.--FreeMalaysiaToday

No comments:

Post a Comment