Wednesday, August 8, 2012

FreeMalaysiaToday:Syabas Tangguh Bekal Pada Industri, S’gor Jamin Selesai

Kerajaan Selangor akan menyelesaikan masalah membekalkan air kepada peniaga tempatan dalam industri yang ditangguhkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sejak Januari 2012.

Exco Pelaburan,Perindustrian dan Perdagangan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok berkata jaminan itu diberi ekoran terdapat 234 permohonan projek untuk dibekalkan air ditangguhkan oleh Syabas.

Permohonan mereka tidak mendapat kelulusan akibat Syabas mengalami masalah kekurangan air.

“Jika mereka (Syabas) tidak berupaya untuk selesaikan hal itu, kerajaan negeri kata biar kita ambil alih. Ini kerana kita buat banyak permohonan dan ia ia sudah setahun sejak Syabas dan kerajaan negeri tidak berkomunikasi.

“Mana-mana permohonan untuk (pembekalan air) yang ditolak oleh Syabas perlu membuat permohonan kepada kerajaan negeri. Kerajaan negeri akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Pemantauan Air Syabas,” katanya.


Kerajaan negeri memberi jaminan tersebut selepas perkara itu dibangkitkan oleh komuniti perniagaan di Selangor yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masalah air ketika sesi taklimat mengenai air dan isu hutang Talam di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Selangor, Norazmie Diron pula berkata, keperluan bekalan air bagi 234 projek itu adalah 194 juta liter untuk projek yang dipohon sejak 2012.

Syabas boleh luluskan

Jelas beliau, Syabas yang juga agensi perakaun dari segi teknikal yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) boleh bertindak meluluskan permohonan tersebut.

Maka katanya, Syabas sepatutnya memberikan kelulusan ke atas permohonan tersebut.

“Bagi projek-projek yang dipohon sejak 2012 hingga sekarang adalah projek yang hanya akan memerlukan air bermula 2014 dan 2015…bukan sekarang.

“Dari segi teknikal kalau sesuatu permohonan sudah dipenuhi, Syabas perlu memaklumkan agar tak menangguhkan permohonan-permohonan tersebut ,” jelasnya.

Menurut beliau, permohonan itu kemudiannya akan dihantar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kelulusan pusat setempat atau One Stop Centre (OSC).

Kerajaan negeri, katanya telah mengarahkan pihak PBT, OSC untuk memberikan kelulusan-kelulusan ini.

“Sekiranya ianya melibatkan tahun-tahun 2013-2014 ia sepatutnya boleh diluluskan kerana berdasarkan anggaran kita, dari segi kecukupan air. Kita mempunyai keupayaan untuk bekalkan kepada permohonan-permohonan baru,” katanya.

“Sebanyak 194 juta liter sahaja diperlukan. Berdasarkan projek Mitigasi 1 yang akan siap Mac 2013, kita mampu sediakan tambahan bekalan air yang boleh diagihkan lebih kurang 120 MLD,” katanya.

No comments:

Post a Comment