Wednesday, January 9, 2013

MalaysianInsider:SYABAS nafi wujud unsur sabotaj akui kekurangan sumber air

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menafikan wujudnya unsur sabotaj dalam masalah bekalan air terbaru di negeri tersebut, sebaliknya mendakwa berlaku kekurangan sumber bekalan air yang meruncing.

Ketua Pegawai Operasi SYABAS Datuk Ir. Lee Miang Koi berkata, sumber bekalan air terjejas teruk kerana dua pam yang menyalurkan air ke wilayah Kuala Lumpur dan Gombak, iaitu pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu rosak, tetapi sudah dibaiki dan beroperasi sejak 2 dan 3 Januari lalu.

“Bagi pam Pudu Hulu, ia telahpun beroperasi sejak 3 Januari melibatkan 18,000 akaun (pengguna) dan pulih sepenuhnya pada 6 Januari, sementara pam Wangsa Maju beroperasi pada tahap 180 juta liter sehari (JLH) sejak 2 Januari,” kata Lee pada sidang media dalam lawatan wartawan ke pam air Wangsa Maju hari ini.

Menurut Lee, kadar pengepaman terpaksa dihadkan kepada 180 JLH dari kadar biasa iaitu 210 JLH kerana kekurangan sumber bekalan air.

“Walaupun kedua-dua pam air sudah dibaiki, bekalan air masih lagi tidak mencukupi kerana sumber yang ada tidak cukup untuk menampung permintaan yang meningkat,” kata Lee lagi.

Lee berpendapat masalah air dapat diselesaikan sekiranya projek pembinaan loji penapisan air Langat 2 siap dan beroperasi.


“Dalam keadaan sekarang, proses pemulihan bekalan air tidak dapat dicapai sepenuhnya kerana tidak ada kapasiti rizab bekalan air. Pada masa sekarang, kapasiti bekalan air terawat yang boleh diagihkan adalah 4,436 JLH dan permintaan bekalan air kebelakangan ini melebihi 4,400 JLH,” kata Lee lagi.

Katanya, oleh kerana loji rawatan Langat 2 ditangguhkan pembinaannya dan tidak diketahui tarikh siapnya, pada tahun 2009 SYABAS isu ini kepada Putrajaya untuk memajukan cadangan sistem pengepaman tambahan bagi menampung permintaan yang meningkat.

Pada Mac 2012, Putrajaya meluluskan projek ini, dimana ia akan dibangunkan oleh kerajaan negeri, namun menurut Lee lagi, beliau tidak pasti bila projek ini akan siap kerana ia masih lagi di peringkat rekabentuk oleh juruperunding yang dilantik kerajaan negeri.

Dan bagi membekalkan bekalan air alternatif, SYABAS menyediakan 56 buah lori tangki air, di mana 16 lori merupakan lori-lori air dari syarikat air negeri lain seperti Johor (tujuh buah), Perak (empat buah), Melaka (dua buah), Pulau Pinang (dua buah), dan Negeri Sembilan (sebuah).

“Bantuan lori tangki air lain seperti dari pihak berkuasa tempatan ialah seperti dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, iaitu tiga buah, tetapi bertugas untuk dua hari, kemudian lori-lori itu tidak bertugas lagi,” kata Lee lagi.

Lee juga mengatakan pihak SYABAS telah melakukan 1,534 penghantaran lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas bekalan air, meliputi 1,036 di wilayah Kuala Lumpur dan 498 di wilayah Gombak, dan juga meletakkan sejumlah 250 tangki air statik di wilayah Kuala Lumpur dan Gombak sepanjang tempoh tersebut.

Pada Jumaat lalu, exco Selangor Ronnie Liu (gambar) mendakwa SYABAS mensabotaj kerajaan negeri dengan tidak melakukan pemantauan dan penyelenggaraan pam di tangki.

Walaupun Syabas memberikan alasan kerosakan pada pam sebagai punca krisis air, Umno menuduh kerajaan PR Selangor bertanggungjawab dalam masalah air tersebut.

“Saya tidak boleh terima alasan yang diberikan oleh Syabas,” kata ahli mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Liu, atau Liu Tian Khiew. “Bagaimana boleh semua perkara berlaku secara kebetulan.

“Ini adalah cubaan mensabotaj kerajaan Pakatan di negeri Selangor.

“Bukan sahaja pam utama yang rosak, tetapi pam simpanan juga rosak. Adakah ini semua berlaku secara kebetulan?

“SYABAS tidak bertanggungjawab, bukan itu sahaja mereka juga tidak melakukan penyelenggaraan ke atas pam hampir setahun,” soalnya.--MalaysianInsider

No comments:

Post a Comment