Thursday, February 14, 2013

Harakah:Air: Selangor siap hantar tawaran kepada konsesi

Tempoh 14 hari untuk Kerajaan Persekutuan memberi maklum balas kepada hasrat Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih perkhidmatan air akan tamat minggu hadapan.

 “Oleh itu, kita menyeru Kerajaan Persekutuan untuk bertindak secepat mungkin memandangkan isu penyusunan semula industri air ini melibatkan kepentingan rakyat,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, kerajaan negeri menegaskan ini bukanlah pengambilalihan biasa syarikat komersil.

 Ini, jelasnya adalah kerana perjanjian konsesi air melibatkan tiga pihak iaitu Syabas,  Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang pemegang sahamnya adalah rakyat.

 Beliau menambah, urusniaga sepatutnya tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat juga perlu diberi keutamaan.
“Justeru, kita menyeru kerajaan Pusat yang memiliki Golden Share atau saham emas dalam Syabas menggunakan kuasanya bagi memastikan Syabas menerima tawaran kerajaan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri sudah menyediakan surat tawaran kepada syarikat konsesi dan berharap mereka tidak menjadikan faktor harga sebagai alasan untuk menolak tawaran ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri berulang kali menyatakan bahawa syarikat konsesi boleh membawa perkara ini kepada Timbangtara Antarabangsa bagi mendapatkan pampasan yang sewajarnya.

Menurut Khalid lagi, kerajaan negeri akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukan kerajaan negeri selepas mengambilalih perkhidmatan air ini pada Forum Air Untuk Rakyat yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Februari sehingga 28 Februari di seluruh negeri.

Katanya, antara mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.

“Kita akan mengiklankan tarikh dan tempat  forum air ini akan diadakan di beberapa akhbar utama untuk memudahkan rakyat merancang dan membuat persediaan awal.


“Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air ini sebagai platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air di Selangor dan Lembah Klang,” katanya lagi.--Harakah

No comments:

Post a Comment