Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali
dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan
penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan
Selangor.
Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air
di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta
dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang
cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi
mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr
Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor
tentang perkhidmatan air di Selangor.
Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air
kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula
perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air
atau WSIA.
“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk
mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat
sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah
di sini hari ini.
Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan
Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan,
rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.
Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih
empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons
positif terhadap tawaran itu.
Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid
dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya
satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.
Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul
Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh
bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.
No comments:
Post a Comment