Tuesday, March 11, 2014

Hanya satu bersetuju tawaran air, Putrajaya perlu buktikan komitmen

Putrajaya kini perlu membuktikan sama ada ia akan memenuhi perjanjiannya dengan Selangor terhadap  pengstrukturan semula  industri air selepas tiga daripada empat syarikat konsesi menolak tawaran dari kerajaan negeri Selangor apabila tarikh tawaran berakhir jam 5 petang semalam.

Selangor bersedia menawarkan RM9.65 bilion untuk membeli saham semua empat firma air dalam industri ini di bawah satu perjanjian yang akan membolehkan Putrajaya membina loji rawatan air bernilai bilion ringgit.

Hanya satu syarikat menerima tawaran ini iaitu Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas), yang majoriti sahamnya dimiliki oleh anak syarikat kerajaan negeri Selangor iaitu Perangsang Selangor.


Pegawai  kerajaan Selangor mendakwa Putrajaya akan membantu Selangor mengambil alih empat firma air jika pemiliknya tidak menerima tawaran RM9.65 bilion itu.

Mereka berdebat mengenai komitmen pengambilalihan ini terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor dan pentadbiran persekutuan Barisan Nasional pada 26 Februari.

Salah satu fasal utama MoU menyatakan Putrajaya akan "memudahkan" penyusunan semula industri air. Ini diterjemahkan sebagai akan menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil alih empat firma berkenaan.

Empat firma itu ialah, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Splash.

Kesemuanya kecuali Syabas, mengendalikan 34 loji yang membekalkan 7 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan air dirawat. Syabas bertanggungjawab menyelenggara saluran paip yang membekalkan air dirawat.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, penolakan  tiga syarikat itu menunjukkan kerajaan Persekutuan gagal dalam janji untuk memastikan syarikat-syarikat konsesi air menerima tawaran yang dibuat Selangor.

"Penyusunan semula industri air tidak pergi ke mana. Hanya sebuah syarikat menerima tawaran itu, iaitu anak syarikat Selangor sendiri, Kumpulan Abass," Pua menulis dalam satu kenyataan pagi ini.

"Kerajaan negeri Selangor menunjukkan kesungguhan dan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan menyelesaikan krisis air yang kritikal dengan menandatangani MOU minggu lepas."

Pua berkata, kerajaan persekutuan kini perlu membuktikan ia akan memenuhi komitmennya terhadap perjanjian air dengan menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air untuk mengambil alih empat syarikat itu."

Dalam pengumuman yang dibuat di laman web Bursa Malaysia petang semalam, Gamuda Berhad, yang memiliki 40% saham dalam Splash, berkata ia akan mendapatkan timbang tara antarabangsa untuk mendapatkan nilai lebih baik untuk sahamnya.

"Tawaran bersih RM250.6 juta untuk Splash berbanding nilai aset bersih (NAV) daripada Splash yang berjumlah RM2.54 bilion pada 31 Disember 2013 akan menyebabkan kerugian penjualan besar sebanyak RM920 juta kepada syarikat.

"Tawaran RM250.6 juta adalah di bawah 10% daripada NAV Splash. Oleh itu, tidak munasabah untuk syarikat menerima tawaran itu," kata kenyataan Gamuda Berhad.

Syarikat lain Puncak Niaga Holdings Berhad, yang memiliki PNSB dan Syabas, berkata ia mahu tawaran lebih bagi pegangan dalam kedua-dua syarikat untuk mempertimbangkan tawaran pengambilalihan itu.

PNHB menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan tawaran Selangor jika negeri bersetuju membayar pulangan kompaun sebanyak 15% setahun ke atas ekuitinya.

Ini adalah satu daripada lima syarat yang dinyatakan PNHB berhubung respons terhadap tawaran Selangor. Kesemua lima syarat mesti dipenuhi jika pengambilalihan berlaku.

Kerajaan Selangor sebelum ini menyatakan bahawa ia akan menawarkan pulangan tidak lebih daripada 12% ekuiti kepada semua syarikat.

Sehingga artikel ini ditulis, tiada berita daripada Abbas, pengendali loji rawatan air. Difahamkan ini tidak akan menjadi masalah memandangkan Selangor memiliki 91% saham Abbas melalui Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).

Dalam satu pengumuman berasingan, Perangsang Selangor berkata ia akan menerima tawaran Selangor kerana 30% kepentingannya dalam Splash. – 11 Mac, 2014.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hanya-satu-bersetuju-tawaran-air-putrajaya-perlu-buktikan-komitmen

No comments:

Post a Comment