Belum pun cukup setahun semenjak kemenangan bergaya dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Negeri Selangor, semakin jelas Pakatan Rakyat hanya tinggal setapak dua sahaja lagi untuk mengotakan segala tawaran berkaitan air sebagaimana yang terkandung dalam manifesto bagi PRU13 dengan termeterainya Memorandum Persefahaman atau Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada 26 Februari 2014 yang lalu. Meskipun lima tawaran Kerajaan Negeri kepada pemegang konsesi sebelum ini sejak 2008 gagal mencapai persetujuan semua pihak secara “willing buyer, willing seller”, penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 atau Water Services Industry Act (WSIA) 2006 (Akta 655) dan undang-undang berkenaan lain yang menjadi tonggak MoU ini akhirnya akan memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor.
Menjelang 10 Mac 2014, sekiranya tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri ini ditolak atau diterima bersyarat oleh mana-mana syarikat konsesi, klausa “memudah cara penstrukturan semula melalui peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, Akta 655 dan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dan berkaitan” membawa maksud WSIA 2006 terutamanya Seksyen 114 dan/atau Seksyen 191 serta undang-undang berkenaan yang lain akan digunapakai oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan penyusunan semula industri berjaya.
Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan bilakah proses pergabungan antara tiga syarikat rawatan air iaitu SPLASH, Puncak Niaga dan ABASS serta satu syarikat pengagihan air, SYABAS akan selesai sepenuhnya atau bilakah rakyat Selangor yang layak akan mendapat saham percuma apabila syarikat-syarikat konsesi ini diambilalih oleh KDEB dan disusun semula di bawah Water SPV, syarikat konsortium milik KDEB, setidak-tidaknya satu rangka masa penyempurnaan iaitu tiga bulan telah ditetapkan.
Pada hemat saya, MoU ini merupakan satu detik bersejarah yang harus menjadi kebanggaan semua rakyat Selangor secara khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya. Pertama, MoU tersebut merupakan satu mercu tanda bagi rekonsiliasi nasional yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak dan gagasan konsensus nasional yang dipelopori oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Kedua, MoU tersebut juga merupakan bukti jelas bahawa perbezaan politik boleh diketepikan untuk mencapai kata sepakat demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Sementara menanti MoU tulen yang muktamad dideklasifikan untuk tatapan umum, saya telah meneliti salinan MoU seperti yang tersebar dengan meluas di alam maya sejak beberapa hari lepas untuk meninjau apakah impak MoU tersebut terhadap Kerajaan Negeri khususnya dan rakyat secara amnya. Dengan fokus semata-mata pada intipati MoU demi analisa objektif dan adil, saya sedaya-upaya mengelak daripada terheret dalam polemik seperti:
- Kenapa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju hadir ke majlis menandatangani MoU secara mengejut yang diuruskan oleh Pejabat Perdana Menteri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat ataupun Pakatan Rakyat?
- Kenapa terlalu lama masa diambil untuk mendedahkan kepada awam dokumen MoU tersebut secara keseluruhan yakni bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebebasan maklumat yang menjadi amalan Kerajaan Negeri?
- Kesahihan MoU ini kerana ditandatangani tanpa diperhalusi terlebih dahulu dan diluluskan di mesyuarat EXCO negeri?
Berikut merupakan apa yang saya boleh simpulkan berdasarkan tafsiran dan pemahaman peribadi mengenai beberapa isu yang mungkin berbangkit:
1. Kos penstrukturan semula industri air Selangor ditanggung Kerajaan Negeri
- Komponen 1: RM1.972 billion – nilai ekuiti ditambah pulangan 12% setahun
- Komponen 2: RM7.68 billion – jumlah pinjaman dan bon kepada institusi kewangan dan Kerajaan Pusat ditanggung oleh syarikat-syarikat konsesi
Komponen 1 akan dibiayai sepenuhnya oleh peruntukkan sebanyak RM2 billion yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan “untuk membantu Kerajaan Negeri dalam urusan pengambilalihan ekuiti” dengan penyerahan aset-aset berkaitan air yang “unencumbered” milik Kerajaan Negeri (aset keseluruhan dianggarkan bernilai RM12 billion) kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada nilai yang setara. Komponen 2 pula akan disempurnakan oleh pemindahan aset-aset berkaitan air yang “unencumbered” milik syarikat-syarikat konsesi atau pertukaran dengan pegangan ekuiti dalam Water SPV kepada PAAB pada nilai yang sama.
Maka, jelas bahawa Kerajaan Negeri sebenarnya tidak perlu mengeluarkan belanja satu sen pun dalam transaksi pengambilalihan ini. Ini bermakna tiada sebarang pinjaman atau pengumpulan dana yang perlu dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk membiayai pelaksanaan penstrukturan semula industri air Selangor. Malah, Kerajaan Negeri dijangka mendapat laba dalam bentuk tunai lebih kurang RM28 juta natijah transaksi pengambilalihan ini.
Sekiranya mana-mana pemilik konsesi membawa ke peringkat timbangtara antarabangsa untuk menyelesaikan pertikaian mengenai harga tawaran, saya yakin kos pengambilalihan tidak akan melebihi RM9.65 billion kerana pulangan tahunan 12% yang diambilkira dalam andaian penilaian ekuiti adalah jauh lebih lumayan berbanding piawaian antarabangsa pada kadar 8% sahaja.
2. Kebenaran bersyarat Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2)
Walaubagaimanapun, oleh kerana majoriti prasarana dan fasiliti berkaitan LRAL2 sebenarnya hampir siap (sebagai contoh, terowong merentasi Banjaran Titiwangsa sepanjang 44.6 km dari Sungai Semantan, Pahang ke loji rawatan di Sungai Langat, Selangor sudah 95% siap) di samping demi mengelakkan pembaziran dan situasi “gajah putih” setelah berbillion ringgit dibelanjakan, maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan menjadikan LRAL2 sebagai “bargaining chip” dalam rundingan ini dan sebagai timbal balas bagi suntikan dana Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan sebanyak RM2.909 billion. Perlu diingat bahawa objektif utama yang ingin dicapai adalah untuk menstruktur semula industri air Selangor yang sangat “fragmented” demi menjamin akses rakyat kepada bekalan air bersih secara mampan dan pada harga yang berpatutan serta pengembalian aset air kepada rakyat melalui tawaran awam permulaan (IPO) saham dalam Water SPV dengan peruntukkan khusus untuk rakyat Selangor yang berhak.
Walaupun segala bentuk kelulusan atau kebenaran berkaitan pembangunan LRAL2 yang bakal dikeluarkan Kerajaan Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU adalah “bersifat mengikat dan tidak boleh batal atau ‘binding and irrevocable’ dan berkuatkuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan Kerajaan Persekutuan”, saya kira beberapa langkah kawalan berikut seperti yang terkandung dalam MoU boleh digunapakai untuk menangkis sebarang kemungkinan:
- Jawatankuasa khas projek LRAL2 yang bakal ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan akan dianggotai oleh wakil Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau pelaksanaan projek terutamanya dari segi kos dan kelangsungan projek bagi mengelakkan pembaziran, ketirisan atau salah laku kewangan yang lain; dan
- Satu klausa dalam MoU (perenggan terakhir) yang menjamin hak mana-mana pihak untuk mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang undang-undang yang berkenaan.
3. Kemungkinan kenaikan tarif air naik akibat MoU
- pemindahan semua aset berkaitan kepada PAAB kerana PAAB akan “membiayai kos modal pembiayaan membina aset air yang baharu, membaikpulih dan menaiktaraf aset air sedia ada”
- pajakan semula semua aset air kepada pengendali perkhidmatan air negeri (selalunya anak syarikat Kerajaan Negeri) dengan sewa pajakan akan ditentukan secara sepakat antara Kerajaan Negeri dan PAAB
Jelas bahawa Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar sewa pajakan yang perlu dibayar kepada PAAB kerana kata kuncinya adalah kesepakatan bersama. Desakan memperbetulkan keadaan akibat perjanjian konsesi bagi penswastaan industri air yang berat sebelah dan tidak adil selama ini di bawah Mahathirisme di tahun 1990an dan awal 2000 dijangka akan menjadi pendorong utama bagi PAAB untuk tidak mengenakan sewa pajakan yang tinggi ke atas Kerajaan Negeri sebagaimana yang kita lihat di negeri-negeri yang telah berjaya menyusun semula industri air mereka. Saya juga yakin Kerajaan Negeri tidak akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung sebahagian daripada kos keseluruhan pembangunan LRAL2
Memandangkan penetapan tarif air kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, saya tidak nampak ruang di mana “pass-through effect” boleh berlaku selagi mana Pakatan Rakyat menguasai pentadbiran Selangor walaupun ada kemungkinan kadar sewa pajakan dinaikkan. Saya juga yakin tarif air tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya memandangkan rakyat negeri Selangor sendiri melalui hak bersuara mereka sebagai pemegang saham dalam Water SPV akan menghalang sebarang tindakan yang dianggap merugikan. Pada hemat saya, inilah dua “benteng” utama yang akan mampu melindungi hak dan kepentingan rakyat Selangor dengan berkesan.
Secara jujur, saya tidak menolak kemungkinan akan ada kenaikan tarif air di suatu ketika nanti pada masa hadapan tetapi saya harap ianya pada kadar yang sangat munasabah, tidak membebankan dan tempoh senggang yang panjang demi memastikan perkhidmatan rawatan dan bekalan air bertaraf dunia tanpa gangguan pada harga yang berpatutan.
4. Tiga tugas utama Kerajaan Negeri dalam kadar segera sementara menanti siapnya LRAL2
- Melaksanakan program mitigasi bernilai RM909 juta dengan suntikan dana penuh oleh Kerajaan Persekutuan
- Memulakan projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) di Sungai Selangor yang dijangka mempunyai kapasiti membekalkan air bersih 600-700 juta liter sehari (MLD) atau 3 billion liter menjelang 2020
- Menurunkan peratusan air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) kepada tahap yang memuaskan daripada lebih 33% sekarang dalam masa enam bulan, punca utama kegagalan SYABAS memastikan bekalan air terawat yang cukup
Meskipun kita masih samar-samar mengenai impak Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 22 November 2007 terhadap tarif air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila LRAL2 mula beroperasi, saya merasakan jika Kerajaan Negeri dapat membuktikan bahawa penyempurnaan tiga langkah di atas mampu menampung keperluan dan memberi perkhidmatan air bertaraf antarabangsa, tiada sebab mengapa air mentah perlu disalurkan dari Pahang ke Selangor.
Kesimpulannya, dengan mengambilkira kesemua kekangan sedia ada, saya berpendapat MoU ini akan memberi manfaat kepada warga Selangor untuk jangka masa sederhana dan panjang. Seperti yang telah dihuraikan, MoU ini tidak sekali-kali akan mengakibatkan penambahan langsung hutang atau implikasi kos terhadap Kerajaan Negeri kerana sememangnya transaksi pengambilalihan ini direkayasa secara spesifik untuk mengelakkan sebarang tekanan ke atas kedudukan kewangan negeri. Yang paling penting, rakyat Selangor akan dapat terus menikmati kemudahan air berkualiti secara mampan pada harga yang berpatutan di samping kesinambungan polisi air percuma serta peluang menikmati pulangan daripada pelaburan di pasaran saham dan hak menentukan hala tuju industri perkhidmatan air di Selangor sebagai pemegang saham dan pemilik bersama aset air dalam Water SPV. Justeru, sekalung tahniah wajar diberi kepada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Syabas!
Azrul Azwar Ahmad Tajudin
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendapat mana-mana pihak. -- SelangorKini
No comments:
Post a Comment