Sunday, January 24, 2010

Selesai segera isu penyusunan air

PANTAI BAHARU – Kerajaan Pusat dan Negeri digesa mempercepatkan proses penyusunan semula mengenai konsesi air di negeri ini bagi membolehkan operasi penggantian paip lama diteruskan.

Pengerusi Institut Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, operasi penggantian paip lama berkenaan perlu diteruskan bagi menjamin kualiti air bersih kepada rakyat negeri ini.

“Saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan segera supaya Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dapat meneruskan operasi penggantian semula paip-paip lama yang telah berumur lebih 40 tahun.

"Jika paip lama ini tidak diganti, akan menyebabkan masalah paip bocor dan pecah malah pengguna juga akan mendapat bekalan air yang tidak berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Pelanggan Prihatin Syabas di Ibu Pejabat Syabas, Jalan Pantai Baharu, semalam.

Sebelum itu, 15 Januari lalu, Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berharap isu penyusunan semula itu dapat diselesaikan segera agar projek penggantian paip yang tergendala dapat diteruskan.

April tahun lalu, Kerajaan Negeri mengarahkan pembekuan projek penggantian paip lama bernilai RM2.6 bilion oleh pihak Syabas sehingga proses penyusunan semula di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selesai.

Dalam pada itu Lam Thye berkata, pemberian ganjaran kepada pelanggan seperti yang dilakukan oleh Syabas merupakan inisiatif baik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat bekalan air itu.

“Pelanggan dan Syabas perlu sama-sama memainkan peranan bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air. Masalah yang timbul dapat diselesaikan segera sekiranya pengguna membuat aduan kepada Syabas.

“Selain itu Syabas juga perlu memastikan jaminan yang diberikan dalam piagam pelanggan untuk memberi perkhidmatan terbaik dapat dilaksanakan bagi menjamin kepuasan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir Lee Miang Koi berkata, pemberian hadiah berkenaan bertujuan memberi galakan kepada pengguna agar bekerjasama melaporkan masalah berkaitan bekalan air di kawasan masing-masing.

“Program ini sebagai salah satu aktiviti mendekatkan Syabas dengan pengguna selain memberi penghargaan kepada pengguna yang memberi kerjasama baik dengan membuat laporan berhubung masalah paip pecah, paip bocor atau isu kualiti air.

“Sehingga Disember tahun lalu, Syabas menerima 2,843,923 panggilan aduan manakala 1,286,238 kes daripadanya berjaya ditangani dengan segera,” katanya.

Katanya, seramai 290 pelanggan prihatin telah terpilih memenangi hadiah cabutan bertuah yang dipilih lima orang bagi setiap bulan sejak program itu dijalankan pada Januari 2005.

Lam Thye turut menyampaikan hadiah berupa peralatan elektrik seperti televisyen, set teater rumah, ketuhar gelombang mikro dan pemain cakera padat kepada 15 pemenang cabutan bertuah bagi bulan Oktober, November dan Disember.

-- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment