Tuesday, July 12, 2011

MerdekaReview:Perbahasan Azmin Ali dalam mesyuarat DUN Selangor

1. Anggaran Perbelanjaan Bekalan Tambahan di bawah Maksud B29 Perbelanjaan Am sebanyak RM81.1 juta termasuk RM61.6 juta untuk bayaran bil air percuma dan cetakan kupon bagi tempoh September sehingga Disember 2011 ekoran kedegilan Kerajaan Pusat untuk mengambil sikap bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu ini yang berlarutan sekian lama dan membebankan rakyat.

2. Kerajaan Pusat tidak langsung menunjukkan minat untuk peduli terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor sebaliknya lebih cenderung untuk melindungi kepentingan kroni dan memperkayakan kroni-kroni pimpinan UMNO.


Pinjaman Kepada SYABAS

3. Pada Suku Tahun Keempat 2010, Kerajaan Pusat telah memberikan kemudahan pinjaman kepada SYABAS sejumlah RM320 juta. Syarat-syarat pinjaman pula berat sebelah (lopsided) dan berpihak kepada SYABAS.

Antara syaratnya ialah :

a. Pembayaran balik akan hanya dibuat selepas tahun yang ke-20. Sekiranya SYABAS mengalami masalah kewangan dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, Kerajaan Pusat akan menyerap (absorb) pinjaman ini.

b. Bagi lima tahun yang pertama, tiada faedah dikenakan ke atas pinjaman yang bernilai RM320 juta tersebut.

4. Skim ini lebih berupa sebagai satu geran dan bukan pinjaman.

5. Dalam keadaan belanjawan Negara semakin menguncup, Kerajaan Pusat masih meneruskan amalan membantu kroni sejumlah RM320 juta.

Kedudukan Kewangan Negeri Selangor Kukuh

6. Usaha Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar memberikan cadangan balas kepada Kerajaan Pusat ke arah penyelesaian demi rakyat, menunjukkan kebolehan dan kemampuan Menteri Besar dan Pakatan Rakyat untuk mengurus ekonomi dengan cekap dan bertanggungjawab.

Walaupun Kerajaan Pusat masih berdolak dalik dalam usaha menyelesaikan isu penstrukturan semula industri air di Negeri Selangor, saya yakin Kerajaan Negeri punyai kemampuan untuk meneruskan program air percuma ini berdasarkan kedudukan kewangan yang kukuh.

8. Pada 31 Disember 2010, pelaburan yang dicatatkan oleh Negeri Selangor berjumlah RM668 juta dan wang tunai simpanan Kerajaan Negeri berjumlah RM900 juta.

9. Tatakelola yang baik dan ketelusan yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah memperlihatkan lonjakan jumlah pelaburan dan wang tunai simpanan Kerajaan Negeri. Pada Suku Tahun Kedua 2011, pelaburan telah mencapai RM557 juta dan wang tunai simpanan Kerajaan Negeri berjumlah RM1.2 bilion.

10. Ini menunjukkan bagi tahun 2010, jumlah wang tunai dan pelaburan yang direkodkan berjumlah RM1.58 bilion. Manakala, bagi Suku Tahun Kedua 2011, ianya meningkat kepada RM1.76 bilion. Ini menunjukkan bahawa dalam masa enam bulan sahaja, Kerajaan Negeri sudah dapat meningkatkan rizab sebanyak RM200 juta.

Penstrukturan Semula Perkhidmatan Industri Air Negeri Selangor

11. Cadangan penstrukturan semula perkhidmatan industri air Negeri Selangor secara menyeluruh (holistik) perlu diteruskan dan dipertahankan demi rakyat. Model holistik bagi maksud ini perlu bertegas supaya konsesi air ditamatkan segera dan Kerajaan Negeri Selangor yang menguasai ekuiti dalam Special Purpose Vehicle (SPV) mestilah diberikan lesen oleh Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) menurut Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 untuk beroperasi dan menyelenggarakan perkhidmatan industri air demi rakyat Negeri Selangor.

12. Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh tunduk dengan tuntutan Kerajaan Pusat bagi pihak SYABAS untuk membenarkan kenaikan tarif air sekurang-kurangnya sebanyak 15%.

Sebarang cadangan pertambahan tarif yang munasabah hendaklah dibincangkan dan dipersetujui oleh Kerajaan Negeri melalui perbahasan dalam Dewan Negeri Selangor yang bertanggungjawab menggalas amanah rakyat Negeri Selangor.

14. Rakyat Negeri Selangor tidak mahu meneruskan dasar dan amalan Kerajaan Pusat yang memberikan kebebasan kepada pengendali air untuk menekan rakyat dan pada masa yang sama, berlaku kecurangan dan ketidak cekapan kos melalui sistem yang ada sekarang.

Projek Rawatan Air Langat 2

15. Saya juga ingin menarik perhatian Dewan berhubung projek Kerajaan Pusat untuk membina kemudahan perawatan air di Langat 2. Persoalannya, apakah benar dakwaan Kerajaan Pusat bahawa akan berlaku krisis air pada 2014 sehingga Kerajaan Pusat tergesa-gesa untuk membina loji rawatan air di Langat 2. Kita boleh merujuk kepada banyak kajian dan kritik berhubung cadangan Kerajaan Pusat yang berpendapat keputusan membina Langat 2 adalah bersifat spekulasi dan berat sebelah kerana kajian yang diguna pakai oleh Kerajaan Pusat dibuat oleh Ranhill dan SMHB Sdn Bhd yang kedua-duanya adalah pemain-pemain utama dalam industri air.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mendakwa bahawa sekiranya Projek Pahang - Selangor Raw Water Transfer yang menelan kos RM9 bilion tidak diteruskan, Selangor akan menghadapi krisis air.

Ini merupakan cerita yang sudah lapuk. SYABAS pernah mendakwa bahawa Selangor akan menghadapi krisis air pada tahun 2007. Orang yang sama dan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kini mengulangi dakwaan yang sama bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014.

18. National Water Resources Study (2000 – 2050) membuat unjuran yang tidak menepati garis panduan water supply system oleh Malaysian Water Association 1994 berpandukan kriteria yang direka oleh JKR.

19. Kriteria yang diguna pakai oleh NWRS adalah :

a. Pertumbuhan penduduk (population growth) melebihi 4% setahun. Sedangkan pertumbuhan menurun daripada 3.7% kepada 3.4%.

b. Pada awal tahun 2001, permintaan air adalah sebanyak 3,000 mld. Tetapi permintaan sebenar adalah hanya 2,647.6 mld.

20. Sepatutnya, isu Non Revenue Water (NRW) perlu ditangani segera. Menurut NWRS, ketirisan adalah sebanyak 35% dan melalui projek Pahang - Selangor Raw Water Transfer, unjuran mencatatkan air dibekalkan sebanyak 1,150 mld.

21. Walau bagaimanapun, pakar-pakar industri air membuat dapatan dalam kajian bahawa 55% daripada jumlah air ini mampu dijana (generate) jika kita dapat mengurangkan ketirisan (leakage).

NWRS juga mendakwa bahawa pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 - 9 % sedangkan pada masa sekarang pertumbuhan hanya di sekitar 4 - 5% sahaja.

23. Ini menunjukkan bahawa unjuran yang dibuat menurut kajian NWRS tersebut mempunyai perbezaan yang cukup ketara (glaring discrepancies).

24. Kita harus melihat dan mengkaji semula tren penggunaan air domestik.

1970 : 200 liter sehari per kapita

1980 : 250 liter sehari per kapita

1990 : 300 liter sehari per kapita

2010 : 500 liter sehari per kapita (kawasan bandar)

United Nations telah membuat rekomendasi bagi penggunaan air sebanyak 200 liter sehari per kapita.

25. Penggunaan air yang dirawat dapat dikurangkan terutamanya dalam kempen konservasi air melibatkan penggunaan air di tandas-tandas, membasuh kenderaan, menyiram pokok-pokok dan sebagainya (non essential activities).

Cadangan

26. Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah-langkah berikut yang turut mengambil kira isu climate change.

a. Program Air Percuma ini perlu diteruskan tetapi di streamline untuk memastikan hanya kumpulan sasar adalah mereka yang benar-benar memerlukan air percuma khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Ini adalah kerana program air percuma melibatkan kos yang tinggi.

b. Kerajaan Negeri harus menurut piawai antarabangsa. Menurut Comment 15 : UN Convention on Rights to Water mencadangkan bahawa hanya mereka yang benar-benar miskin (hardcore poor) patut diberikan air percuma. Ini merupakan best practice yang patut menjadi dasar pemberian air percuma.

c. Kerajaan Negeri boleh memperkenalkan rain water harvesting untuk non-essential activities. Menurut kajian UKM, pengguna rain water harvesting boleh mengurangkan bil air di antara 40 ke 50 %.

d. Mengurangkan penggunaan air menerusi program kempen konservasi.

e. Untuk industri IKS, penggunaan teknologi baru akan dapat menjimatkan penggunaan air.

*Nota perbahasan Mohamed Azmin Ali (gambar kanan) selaku ADUN Bukit Antarabangsa dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Kedua Belas.

No comments:

Post a Comment