FORUM atau dialog berkaitan status terkini bekalan air Lembah Klang baru-baru ini yang dianjur FOMCA dan Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAN), jelas memperlihatkan betapa seriusnya tahap kekurangan bekalan air bersih di Selangor, ibu negara dan Putrajaya.
Krisis air di Lembah Klang ini sudah lama diperkatakan banyak pihak, namun sikap dan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu berkenaan menjadikan ia gagal diatasi dengan berkesan.
Kajian oleh pakar air negara mendapati rizab simpanan air di ketiga-tiga kawasan hanya tinggal pada kadar tiga hingga lima peratus yang nyata tidak mencukupi untuk menampung permintaan bekalan air sedia ada jika sesuatu tragedi atau malapetaka berlaku.
Pertambahan jumlah penduduk di pinggir bandar seperti Petaling Jaya dan selatan Kuala Lumpur juga misalnya membuatkan keadaan ini menjadi lebih parah.
Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila berlakunya masalah luar jangka lain selain kemarau seperti pencemaran sumber bekalan air mentah.
Ini ditambah pula dengan kapasiti 33 loji rawatan air yang sudah berada di tahap maksimum.
Apa yang dikesalkan, pihak berwajib seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak Kementerian Air masih tidak memperlihatkan usaha gigih menyelesaikan masalah ini, walaupun kedua-duanya sedar akan impak besarnya kepada rakyat termasuk pengguna, pelabur, pekilang dan usahawan.
Sebagai sebuah negara yang bakal dimartabatkan sebagai negara maju pada 2020, amat memalukan sekiranya permasalahan bekalan air ini masih lagi berlarutan tanpa titik noktah, lebih-lebih lagi kawasan lembah Klang menjadi hab pelaburan negara.
Peranan SPAN dan kementerian harus dikaji semula berhubung usaha menangani isu ini selain memerlukan satu mekanisme ampuh dan efektif menerusi penyelesaian yang bakal dilaksanakan dengan kadar segera.
Perlu diingatkan, isu air adalah masalah nasional dan juga satu isu keselamatan yang perlu dihadapi oleh setiap lapisan masyarakat.
Sekiranya masalah ini masih juga tidak dapat diatasi, janganlah pula kita bersikap ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar kerana yang menjadi puncanya ialah kita sendiri.
KIYAI SUJAK,
Desa Coalfield Selangor
No comments:
Post a Comment