Tuesday, August 2, 2011

BeritaHarian:Teknologi air bersih

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Makmal Bioteknologi Industri akan mengukuhkan kepakarannya dalam penyelidikan berkaitan pengurusan air bersih menerusi kerjasama dengan beberapa lagi universiti ternama di Amerika Syarikat (AS).


Antaranya ialah Stanford University, Purdue University, University of Maryland dan Michingan State University, selain kerjasama sedia ada dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT), ketika menubuhkan makmal terbabit tahun lalu.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata penubuhan makmal itu dijangka dapat memperluaskan kerjasama kerjasama dengan universiti lain di AS kerana setiap institusi terbabit mempunyai kepakaran masing-masing.


Beliau berkata, menerusi kerjasama itu juga, UTM bakal memperoleh kepakaran dalam pelbagai bidang antaranya kejuruteraan empangan, pengurusan rawatan, pengagihan, tangki simpanan pengguna dan kegunaan domestik.

Katanya, UTM akan menggembleng kira-kira 100 tenaga pengajar dan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan serta makmal atau fakulti lain bagi membangunkan teknologi air bersih secara menyeluruh.

“Kerjasama dengan universiti di AS ini dalam bentuk jalinan antara makmal dengan makmal, iaitu pensyarah dan pelajar UTM serta universiti AS bertukar tempat untuk tempoh kurang setahun.

“Kerjasama pintar ini membolehkan kedua-dua pihak menanggung kos penyelidikan dan menerbitkan hasil kajian secara bersama,” katanya.

Zaini berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Wakil Khas Presiden AS Mengenai Sains ke Asia Selatan dan Asia Tenggara, Dr Rita R Colwell, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Colwell, seorang profesor di University of Maryland dan Johns Hopkins University serta penerima Anugerah Air Stockholm 2010, dalam lawatan seminggu ke institusi penyelidikan dan universiti di negara ini, termasuk Universiti Malaya.

Zaini berkata, negara ini masih mempunyai ruang untuk meningkatkan keupayaan teknologi rawatan air seperti di AS yang membekalkan air paip boleh terus diminum tanpa perlu dimasak.

Katanya, jika Malaysia melalui UTM memiliki teknologi rawatan air bersih bertaraf dunia, universiti itu dapat mengeluarkan jurutera dan saintis yang akan bekerja dengan syarikat air tempatan dan meningkatkan keupayaan syarikat terbabit.

“Syarikat tempatan yang memiliki sumber manusia bertaraf dunia juga aset untuk negara meneroka pasaran perkhidmatan penyelenggaraan air bersih peringkat global,” katanya

No comments:

Post a Comment