SHAH ALAM 27 OKTOBER : Kerajaan Negeri Selangor melahirkan kebimbangan dengan peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) yang tidak terkawal dan gagal dikurangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) walaupun mendakwa telah melakukan pelbagai usaha untuk mengurangkannya.
Menurut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong kegagalan SYABAS menurunkan peratusan NRW ke tahap yang memuaskan membuktikan syarikat konsesi air ini gagal menjalankan penyelenggaraan paip-paip air dengan baik.
Elizabeth yang juga Adun Bukit Lanjan menjelaskan semua perkara di atas semuanya termaktub dan dikehendaki seperti dalam perjanjian penswastaan air antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi.
“Jika SYABAS tidak mampu mengurangkan NRW pada tahap yang memuaskan, ia akan memberi kesan langsung kepada bekalan air bersih untuk pengguna,” katanya.
Mengikut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), SYABAS masih gagal mengurangkan kadar NRW kurang dari 30 peratus.
Walaupun kadar NRW menurun pada kadar 32.38 % pada 2009 berbanding 38.43 % pada 2005, tetapi meningkat semula pada tahun lalu dan tahun ini malah SPAN meramalkan NRW terus meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020.
“Tanpa bekalan air bersih yang mencukupi, tidak mustahil krisis bekalan air bersih di Lembah Klang akan berlaku walaupun tujuh empangan di Selangor mempunyai kapasiti air mentah yang mencukupi dan adakalanya berlaku limpahan,” jelasnya.
Sebelum ini, laporan Pengkajian Penilaian Aset Air Negeri Selangor oleh Ranhill mendapati, dua loji rawatan air iaitu Kalumpang dan Sg Sireh memerlukan penambahbaikan yang besar manakala 18 lagi loji memerlukan penambahbaikan.
“Ini menunjukkan pengendali loji-loji berkenaan, Puncak Niaga telah gagal melakukan usaha untuk menambahbaik loji-loji rawatan air ini bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk keperluan pengguna.
“Justeru, tidak hairanlah jika loji-loji ini berfungsi di bawah kemampuannya sedangkan ia mampu menghasilkan air bersih yang mencukupi jika loji-loji ini dinaik taraf.
“Menteri-menteri Kerajaan Pusat lebih ghairah bercakap mengenai keperluaan membina Loji Rawatan Air Sungai Langat atau Langat 2, bagi menutup kelemahan dan ketidakmampuan syarikat konsesi ini yang ada hubung kait dengan Umno,” katanya lagi.
Tambah Elizabeth, Langat 2 yang dipertahankan Kerajaan Pusat dan syarikat konsesi ini hanyalah loji yang membawa air mentah dari Pahang tetapi pembinaannya tidak akan mampu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bersih kepada pengguna.
Isu yang patut diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat ialah menyegerakan pengambilalihan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri Selangor yang sengaja dilewat-lewatkan dan dibelenggu masalah-masalah yang tidak sepatutnya timbul.
Elizabeth yakin pengurusan air akan lebih terjamin, terurus dan profesional jika Kerajaan Negeri diberi mandat untuk ambil alih dari syarikat konsesi kerana kepentingan rakyat lebih diutamakan berbanding keuntungan, tidak seperti syarikat konsesi yang mana keuntungan adalah segala-galanya.
Malahan kata beliau, jika Kerajaan Negeri mengambilalih pengurusan air, kita amat yakin NRW berjaya diturunkan hanya sekitar 10 peratus dan tidak akan berdepan masalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 10 peratus setiap tahun.
Memberi contoh berkenaan kejadian paip bocor berhampiran Lapangan Terbang Subang baru-baru membuktikan ketidakcekapan SYABAS dalam menyelenggara paip-paip ini.
Ia bukan saja mengundang kesengsaraan kepada pengguna jalan raya malah menyumbang kepada pembaziran air bersih sekali gus meningkatkan peratusan NRW.
“Syarikat konsesi gagal mempelbagaikan teknologi rawatan air seperti rawatan air dalam kontena yang lebih mudah, cepat dan murah berbanding membina Langat 2. Teknologi ini juga boleh digunakan untuk merawat air hujan sehingga bersih dan selamat untuk digunakan,” katanya
No comments:
Post a Comment