Tuesday, October 25, 2011

SinarHarian:Sambung sistem pembetungan

PORT DICKSON – Pemilik harta komersial yang terdiri daripada pemilik hotel, persatuan pemaju dan hartanah serta kumpulan hospitaliti dekat sini, disarankan agar melakukan penyambungan sistem pembetungan sedia ada mereka ke mana-mana sistem pembetungan awam atau berpusat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, di daerah ini sekurang-kurangnya lebih 66 pemilik harta komersial yang perlu berbuat demikian dan dari masa ke semasa penggunaannya akan diperluaskan di kawasan lain.

Menurutnya, penyambungan ini perlu dilakukan ke sistem pembetungan pusat yang terletak dalam jarak 30 meter dari hartanah mereka.

“Sehingga kini, selepas hampir setahun pembetungan berpusat di Bandar Sunggala beroperasi kegunaannya hanya dimanfaatkan oleh lima hingga 10 peratus sahaja oleh pemilik harta komersial.


“Mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan dan denda, namun kelonggaran masih diberikan serta tempoh tersebut masih dalam kajian bagi memastikan kesemua pemilik harta komersial mampu ke arah tersebut tanpa menimbulkan sebarang kesukaran,” katanya selepas merasmikan Dialog Penyambungan Hartanah ke Sistem Pembetungan Awam Di Port Dickson dan Pelancaran Kempen Program Mengosongkan Tangki Septik Mesra Bersama Rakyat anjuran Suruhanjaya Perkhidma-tan Air Negara (Span) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Indah Water Konsortium.

Mohammad Razi berkata, untuk pembangunan pusat pembetungan bandar Port Dickson dan Sunggala, kerajaan memperuntukkan sebanyak hampir RM200 juta yang mampu menampung pengguna seramai 90,000 orang.

“Penyambungan sistem pembetungan dilihat mampu membantu meminimumkan tahap pencemaran kumbahan bagi memastikan pantai Port Dickson selamat.

“Bagaimanapun, langkah ini hanyalah sebahagian alternatif dari jalan penyelesaian untuk mengurangkan pencemaran,” katanya.

Katanya, sehingga kini Port Dickson sekurang-kurangnya mempunyai 150 loji rawatan najis yang perlu disambung ke sistem pembetungan pusat.

Dalam pada itu katanya, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM10 juta di pantai Telok Kemang untuk menaik taraf sistem kumbahan di sana.

“Dari kawasan pantai satu hingga pantai tiga, sekarang ini terdapat 18 saluran pembetungan disalurkan ke laut dan ia akan dikurangkan menjadi tiga selain saluran pembetungan itu akan dipanjangkan ke laut.

“Selain itu, kumbahan juga akan di rawat terlebih dahulu dan saya meminta kerjasama daripada semua pihak terutamanya pemilik harta komersial sangat dialu-alukan kerana ia turut akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti aset pelancongan Port Dickson iaitu pantai,” katanya.

No comments:

Post a Comment