Friday, January 20, 2012

UtusanMalaysia:Projek Mitigasi tampung bekalan air bersih hingga 2016

Kerajaan bakal melaksanakan Projek Mitigasi Fasa Kedua bernilai RM331 juta untuk menampung bekalan air bersih kawasan sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga penghujung 2016.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, terdapat lima projek utama yang akan dilaksanakan dalam program berkenaan.

Katanya, lima projek itu adalah Pengagihan Semula Kapasiti Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA)Sungai Selangor Fasa Satu (SSP1); dan Pengagihan Semula Kapasiti Reka Bentuk LRA Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3).

Selain itu, ia melibatkan Program Air Tidak Berhasil (NRW) Tambahan; Pemindahan Tempat Pukal di Rasah; dan Program Penggantian bagi Operasi Melebihi Kapasiti di LRA Semenyih.


``Projek itu telah mendapat kelulusan Majlis Ekonomi (EC),’’ katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di LRA Sungai Semenyih dan LRA Sungai Labu di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Loo Took Gee dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Fah Kui berkata, projek Mitigasi Fasa Kedua itu perlu dilaksanakan ekoran keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan pembinaan LRA Langat 2 (Langat 2).

"Tindakan tersebut menyebabkan bekalan air kepada lebih dua juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terjejas jika projek Langat 2 ini gagal disiapkan seperti yang dirancang pada 2014," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan dapat mengurangkan beban kapasiti LRA Sungai Semenyih yang sedang beroperasi melebihi 25 peratus daripada reka bentuk kapasiti asal iaitu sebanyak 545 juta liter sehari (JLH).

"Ia juga membantu meringankan beban LRA Sungai Langat berkapasiti reka bentuk 386 JLH yang sedang beroperasi melebihi 21 peratus daripada kapasiti asal.

"Langkah penambahan kapasiti itu masih tidak dapat memenuhi permintaan bekalan air di Selangor dan telah menyebabkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Sepang, Kuala Lumpur dan Petaling yang mengalami masalah gangguan air pada awal minggu lepas," katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meluluskan lesen abstraksi kepada pihak bertanggungjawab mengoperasikan LRA Sungai Labu bagi menangani isu bekalan air.

No comments:

Post a Comment