Friday, December 28, 2012

MalaysianInsider:BN dakwa rizab air Selangor terlalu rendah, tidak sampai satu peratus

Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mendakwa rizab simpanan air negeri tersebut kini berada pada tahap paling rendah iaitu satu peratus lebih rendah daripada tahap minimum.

“Dalam industri, kita perlu ada 20 peratus rizab air, atau paling kurang pun 10 peratus, tapi kita di Selangor tak sampai satu peratus rizab air, sebab itu masalah air sering berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikritik oleh Barisan Nasional (BN) Selangor kerana kedegilannya untuk menyelesaikan masalah air yang kerap berlaku di negeri tersebut.

“Saya nak tanya, adakah patut masa depan negeri terletak pada kedegilannya?

“Sekarang umur dia berapa? 67 tahun? Takkan nak tunggu umur dia 167 tahun baru nak selesaikan masalah air di Selangor?” kata Mohd Zin sebagai respon kepada kenyataan Abdul Khalid beliau sanggup menunggu selama 100 tahun untuk menyelesaikan isu air di Selangor.

Mohd Zin turut berkata jika BN memenangi Selangor semula dalam pilihan raya akan datang, kerajaan negeri pimpinan BN akan serta merta meluluskan projek Langat 2 untuk meningkatkan kapasiti air di negeri ini.


Beliau berkata, rakyat tidak perlu dikorbankan kerana kedegilan seorang Menteri Besar.

Khalid dikecam oleh seorang pemimpin persatuan pengguna negeri Selangor ekoran kenyataannya baru-baru ini bahawa beliau sanggup menunggu sehingga 100 tahun untuk menyelesaikan isu air walaupun Selangor diancam krisis bekalan air menjelang 2015.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata kenyataan Khalid itu “tidak profesional” dan mengesahkan beliau mahu satu “perang politik” di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat berhubung isu air.

“Sebagai menteri besar, beliau harus lebih sensitif kerana yang menanggung kedukaan dan kelukaan daripada masalah air ialah pengguna di Selangor sendiri,” katanya dalam satu temubual.

Dr George berkata apa yang terjadi ekoran pendirian yang diambil oleh Khalid berhubung isu air ialah “gajah berlawan dengan gajah tetapi pelanduk yang mati di tengah-tengah”, iaitu rakyat, pengguna negeri Selangor dengan masalah pemotongan air dilaporkan di beberapa kawasan ekoran kekurangan bekalan.

Sebagai contoh, minggu lepas, beberapa kawasan di sekitar Pandan Perdana, Pandan Indah, Taman Taynton View dan Taman Bukit Segar di Cheras mengalami gangguan bekalan air berikutan penurunan paras kolam utama yang dikesan sejak awal minggu.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), ia berpunca daripada permintaan bekalan air yang meningkat mendadak sejak kebelakangan ini dan melibatkan lebih 9,000 pengguna.

“Ini mendukacitakan bila mereka keluar kenyataan iaitu 100 tahun pun mereka akan melengah-lengahkan walaupun mereka tahu pada tahun 2015 kita akan berhadapan dengan masalah bekalan air yang begitu besar,” katanya dipetik dari agensi berita Bernama.

Beliau berkata kekurangan bekalan air di Selangor bukan sahaja berpunca daripada permintaan pengguna biasa tetapi lebih kepada industri-industri, projek-projek perumahan yang tumbuh seperti cendawan yang mengakibatkan pertambahan jumlah penduduk dengan mendadak.--MalaysianInsider

No comments:

Post a Comment