Thursday, December 27, 2012

Bernama:MB Selangor Dikecam Kerana Sanggup Tunggu 100 Tahun Selesai Isu Air

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikecam oleh seorang pemimpin persatuan pengguna negeri ini ekoran kenyataannya baru-baru ini bahawa beliau (Khalid) sanggup menunggu sehingga 100 tahun untuk menyelesaikan isu air walaupun Selangor diancam krisis bekalan air menjelang 2015.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata kenyataan Khalid itu "tidak profesional" dan mengesahkan beliau mahu satu 'perang politik' di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat berhubung isu air.

"Sebagai menteri besar, beliau harus lebih sensitif kerana yang menanggung kedukaan dan kelukaan daripada masalah air ialah pengguna di Selangor sendiri," katanya dalam satu temubual.

Dr George berkata apa yang terjadi ekoran pendirian yang diambil oleh Khalid berhubung isu air ialah "gajah berlawan dengan gajah tetapi pelanduk yang mati di tengah-tengah", iaitu rakyat, pengguna negeri Selangor dengan masalah pemotongan air dilaporkan di beberapa kawasan ekoran kekurangan bekalan.

Sebagai contoh, minggu lepas, beberapa kawasan di sekitar Pandan Perdana, Pandan Indah, Taman Taynton View dan Taman Bukit Segar di Cheras mengalami gangguan bekalan air berikutan penurunan paras kolam utama yang dikesan sejak awal minggu.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment