Wednesday, February 20, 2013

FreeMalaysiaToday:S’gor tawar RM9.65 bilion untuk konsesi air

Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan memulakan proses pengambilalihan perkhidmatan air daripada pemegang konsesi air dengan membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion.

Surat tawaran itu adalah kepada empat syarikat iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Holdings Bhd, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tawaran ini tidak merugikan syarikat-syarikat berkenaan kerana jumlah tersebut merupakan pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti yang mereka miliki.

Ini berbanding dengan pulangan lazim bagi industri air iaitu hanya enam peratus.

Malah ujar Abdul Khalid, liabiliti itu juga akan diambil alih oleh KDEB menerusi Special Purpose Vehicle.

“KDEB hanya pemegang equiti manakala Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang akan pegang secara keseluruhan.

“Pengambilalihan akan dibuat dua peringkat iaitu bayar equiti kepada tiap-tiap syarikat. Semua aset liabiliti diambil alih kerajaan negeri melalui KDEB.

“Syarikat-syarikat konsesi ini mempunyai masa dua minggu untuk menjawab tawaran dan jika menolak ia seolah-seolah menolak tawaran rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di bangunan SUK di sini hari ini.

Ditanya pemberita jika syarikat-syarikat konsesi menolak tawaran tersebut, Abdul Khalid tidak menolak kemungkinan untuk membawa hal tersebut kepada mahkamah seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (Akta 655).

Katanya, jika ada syarikat konsesi tidak bersetuju dengan tawaran tersebut maka ia boleh dibawa kepada arbitari antarabangsa.

“Dalam tempoh 14 hari kita kemukakan tawaran, mereka akan mesyuarat agung luar biasa yang mana pemilik-pemilik saham syarikat akan tentukan sama ada setuju atau tidak tawaran ini,” jelas beliau.

Pada 31 Januari lalu, Kerajaan Selangor mahu mengambil alih perkhidmatan air daripada Syabas dalam tempoh 14 hari.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui memaklumkan perkara berkenaan.

No comments:

Post a Comment