Tuesday, February 19, 2013

Harakah:Air S'gor: Tempoh 14 hari tamat, mesyuarat exco putus esok

Kerajaan Negeri Selangor akan mula mengambil langkah drastik berhubung pengambilalihan air negeri itu selepas tempoh 14 hari kepada kerajaan pusat tamat semalam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah-langkah tersebut akan diumumkan selepas majlis mesyuarat kerajaan negeri bermesyuarat esok.

“Kerajaan Negeri sudah buat tawaran mengenai perkara ini.

“Kelulusan akan dibuat dalam mesyuarat exco sebelum diumumkan kepada pihak awam,” katanya semalam.

Kelmarin, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengemukakan tawaran pengambilalihan operasi pengurusan bekalan air di negeri itu kepada semua syarikat konsesi mulai minggu hadapan.

Selangor sebelum ini telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan pihaknya akan mengambil alih perkhidmatan air di negeri itu termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

Di bawah sesuatu perjanjian pada 2004, perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diswastakan dan diuruskan oleh Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass).

Ketiga-tiga syarikat tersebut mengurus loji rawatan air manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dipertanggungjawabkan untuk mengurus pengedaran air terawat.

Kerajaan negeri juga sebelum ini membayangkan akan memohon semakan kehakiman sekiranya Kerajaan Persekutuan enggan memberi kerjasama dengan meluluskan pengambilalihan tersebut.

Semalam Abdul Khalid berkata, sekiranya tawaran harga kepada empat syarikat konsensi ditolak, pihaknya akan membawa perkara itu ke badan timbang tara antarabangsa.

No comments:

Post a Comment