Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diminta
untuk memperjelaskan mengenai butiran penuh Memorandum Persefahaman
(MoU) di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan berhubung
projek loji rawatan air Langat 2.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata,
Menteri Besar akan dipanggil untuk memberi taklimat kepada Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja beliau pulang dari
Jepun.
"Kami mahu mendengar cerita di pihak Khalid kerana ramai yang masih
tidak mengetahui mengenai butiran berkenaan. Kita bimbang sama ada akan
terdapat kenaikan harga tarif air dan sama ada masih terdapat air
percuma bagi Selangor," katanya pada Khamis.
Laman rasmi Facebook Anwar menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kini berada di Jepun.
Dilaporkan bahawa beberapa pemimpin PKR tidak dimaklumkan mengenai
MoU sebelum negeri itu menandatangani perjanjian berhubung penstrukturan
semula air dan tidak dipastikan sekiranya Khalid mendapat sokongan
daripada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat mengenai perjanjian itu.
Azmin, yang juga Ketua PKR Selangor berkata, peguam parti akan
dirujuk untuk memastikan perjanjian itu mengikut dasar-dasar Kerajaan
Pembangkang.
"Kita masih memerlukan penjelasan lanjut," katanya.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil , bagaimanapun berkata, beliau
dimaklumkan bahawa Khalid bersiap sedia untuk membuat pembentangan
mengenai penstrukturan semula air itu kepada semua pemimpin Pakatan
Rakyat.
"Saya tahu beliau akan memberi taklimat kepada semua pemimpin Pakatan
Rakyat dalam beberapa hari akan datang," katanya sambil menambah bahawa
ramai pemimpin Pakatan Rakyat meminta untuk mengetahui maklumat lanjut
mengenai isu air tersebut.
"Saya fikir usaha untuk membentangkan dengan lengkap amat dialu-alukan," kata Fahmi.
No comments:
Post a Comment