Thursday, February 27, 2014

Pusat sedia suntik dana kepada Selangor beli syarikat konsesi air

Kerajaan Pusat bersedia menyuntik dana tambahan membantu Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air sekaligus menjadi badan tunggal menguruskan perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

Empat syarikat konsesi tersebut yang ditawarkan adalah Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash), dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas).

“Kerajaan Persekutuan bersedia untuk menyuntik dana tambahan untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor mengambilalih syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut melalui suatu syarikat milik Kerajaan Negeri

“Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor berharap agar syarikat-syarikat konsesi air di negeri Selangor turut memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan rakyat di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.”

Kenyataan bersama itu dibuat Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) diantara kerajaan Persekutuan dengan Selangor bagi penyelesaian isu air hari ini.

MoU itu ditandatangani Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan Pusat manakala Abdul Khalid mewakili Kerajaan Negeri Selangor dan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta beberapa menteri Kabinet dan Exco Selangor.

Dalam MoU itu juga, kerajaan Persekutuan bersetuju menjadi pemudah cara bagi kerajaan Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri air melalui Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA) dan mana-mana undang-udang yang terpakai.

“Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Selangor pula akan mengeluarkan kebenaran merancang (Development Order) untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) (Pakej 2A) berkuat kuasa pada hari ini dan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh Memorandum ini ditandatangani,” katanya.

Kenyataan itu berkata, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang akan turut dianggotai oleh wakil Kerajaan Negeri Selangor bagi pelaksanaan projek LRAL2.

Antara lain, MoU ini mengambil kira bahawa pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor oleh kerajaan negeri sebagai suatu keperluan yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, serta mengambil kira perkhidmatan bekalan air yang lebih mampan dan efisyen bagi pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Persekutuan juga sedang melaksanakan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor yang mempunyai dua komponen iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, mengambil kira MoU antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor mengenai pembekalan air mentah bertarikh 27 Mac 2001 dan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 22 November 2007.

“Lanjutan dari itu, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (selepas ini dikenali sebagai “LRAL2″) merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air yang berterusan di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor antara Pusat dan Selangor telah berpanjangan sejak tahun 2008 lagi tanpa sebarang penyelesaian.

Ia bukan sahaja telah menjejas industri perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut, malah turut memberi kesan kepada negara berikutan projek-projek pembangunan baru tidak dapat dimulakan disebabkan ketiadaan bekalan air.

Kemelut ini juga telah menyebabkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan LRAL; projek untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di Selangor, Wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, telah tertangguh sehingga kini.

Pada Mei 2013, Kerajaan Pusat dan Selangor telah bersetuju agar satu rundingan semula diadakan di antara kerajaan Selangor dengan syarikat konsesi air untuk mencapai satu persetujuan dalam penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.

Ini termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi ini oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui konsep willing buyer-willing seller.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana telah memberi kerjasama dalam menyelesaikan isu air di Selangor.

“Persetujuan bersejarah ini menandakan komitmen kedua-dua belah pihak kepada kepentingan rakyat, tepat dengan konsep “Rakyat Didahulukan” atau “People First”.

“Abdul Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, di atas kerjasama erat yang telah diberikan sehingga mencapai kata sepakat,” katanya.--FreeMalaysiaToday

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/02/26/pusat-sedia-suntik-dana-kepada-selangor-beli-syarikat-konsesi-air/

No comments:

Post a Comment