Wednesday, March 12, 2014

Kerajaan Persekutuan kuatkuasakan WSIA untuk mudahkan penstrukturan semula air Selangor

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor akan meneruskan langkah-langkah perlu bagi melaksanakan penyusunan semula industri air Selangor mengikut terma yang telah persetujui menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 26 Februari lalu.

Selaras dengan terma dan syarat-syarat dalam MoU, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kini akan menggunakan kuasanya mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dan mana-mana akta, undang-undang atau peraturan yang terpakai untuk membantu Kerajaan Selangor melaksanakan cadangan pengambilalihan industri perkhidmatan air.


Ini termasuklah menguatkuasa pemakaian Seksyen 114 Akta WSIA dalam usaha menangani isu yang melibatkan kepentingan negara untuk memastikan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih mampan dan berdaya maju.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat antara Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tengahari tadi.

Dalam mesyuarat itu, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili mengulangi komitmen beliau untuk membantu memudahkan Kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air daripada empat syarikat konsesi seperti yang dipersetujui MoU.



Pada 26 Februari lalu, syarikat milik Kerajaan Negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah membuat tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) and Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).



Tempoh tawaran yang berakhir pada jam 5 petang semalam, tiga syarikat konsesi iaitu SYABAS, Puncak Niaga dan Splash dianggap telah menolak tawaran berkenaan manakala hanya ABBAS konsesi tunggal yang menerima tawaran itu. – 11 Mac 2013



* Kenyataan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Pejabat Menteri Besar Selangor


http://bm.selangorku.com/46531/kerajaan-persekutuan-akan-kuatkuasakan-wsia-untuk-mudahkan-penstrukturan-semula-air-selangor/

No comments:

Post a Comment