Wednesday, March 12, 2014

Penstrukturan air: Pusat ikrar bantu Selangor

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor akan meneruskan langkah-langkah  perlu bagi melaksanakan penyusunan semula industri air Selangor mengikut terma yang telah persetujui menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 26 Februari lalu.

Selaras  dengan terma dan syarat-syarat dalam MoU, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kini akan menggunakan kuasanya mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dan mana-mana akta,  undang-undang atau peraturan yang terpakai untuk membantu Kerajaan Selangor melaksanakan cadangan pengambilalihan industri perkhidmatan air.

Menurut kenyataan bersama Pejabat Menteri Besar Selangor dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang dikeluarkan lewat petang semalam, Kerajaan Pusat berjanji akan mengambil segala langkah perlu termasuk menguatkuasakan pemakaian Seksyen 114 Akta WSIA dalam usaha menangani isu yang melibatkan kepentingan negara.

Langkah ini perlu bagi memastikan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya  lebih mampan dan berdaya maju.


"Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat antara Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tengahari tadi (semalam)," kenyataan media itu dipetik.

Dalam mesyuarat itu, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili mengulangi komitmen beliau untuk membantu memudahkan Kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air daripada empat syarikat konsesi seperti yang dipersetujui MoU.

Pada 26 Februari  lalu,  syarikat milik Kerajaan Negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah membuat tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti  empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB),  Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) and Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).

Ketika tempoh tawaran yang berakhir pada jam 5 petang semalam, tiga syarikat konsesi  iaitu SYABAS, Puncak Niaga dan Splash menolak tawaran berkenaan manakala ABBAS satu-satunya konsesi tunggal yang menerima tawaran itu.

Keputusan yang dibuat empat syarikat konsesi air ini menimbulkan kemarahan para pemimpin Pakatan Rakyat Selangor antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zulkefly Ahmad.

Mereka mendesak Kerajaan Pusat berpegang kepada MoU yang ditandatangani dengan mengarahkan syarikat konsesi terbabit menerima tawaran pembelian kerajaan negeri ataupun kerajaan negeri menarik balik persetujuan meneruskan projek Langat 2.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/26331-penstrukturan-air-pusat-ikrar-bantu-selangor

No comments:

Post a Comment