Tuesday, February 25, 2014

Catuan Air: Krisis Syabas-Selangor Berterusan

Krisis antara Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan kerajaan Selangor berterusan apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibahim menyalahkan pemegang konsesi itu sebagai punca kekurangan bekalan air yang dihadapi penduduk sejak minggu lalu.

Menurut Abdul Khalid, jadual pengagihan air sepatutnya dilaksanakan oleh Syabas pada minggu lalu menerusi Pelan Tindakan Kecemasan supaya pengguna boleh membuat persiapan awal.

“Namun, Syabas sehingga kini gagal mengemukakan pembentangan pelan penjadualan pengagihan.

“Kerajaan negeri telah dimaklumkan bahawa Syabas enggan berbuat demikian dan mahu menyerahkan tanggungjawab itu kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran itu, beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berbincang untuk membolehkan kerajaan negeri sekali lagi masuk campur (step in) dalam pengurusan air Syabas.

Beliau juga dimaklumkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bahawa bekalan air mentah di Selangor dalam keadaan kritikal sehingga menyebabkan paras air dibeberapa empangan menyusut dan mencapai paras berjaga-jaga.

Mengulas lanjut mengenai penjadualan pengagihan air, beliau berkata tindakan itu akan dilakukan bermula esok dan dijangka berlarutan sehingga akhir Mac sekiranya keadaan cuaca panas berlanjutan seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Kerajaan Selangor akan mengurangkan pelepasan air mentah ke empat loji bermula esok dan ini akan menyebabkan berlaku penjadualan pengagihan air kepada pengguna di beberapa kawasan di Lembah Klang.

“Pengurangan pelepasan air mentah daripada Empangan Sungai Selangor ini melibatkan Loji Sungai Rasa, Loji Sungai Selangor 1, 2, 3 dan ini akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna yang menerima bekalan air daripada loji-loji berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pengurangan ini akan dilaksanakan dalam empat peringkat iaitu peringkat pertama melibatkan pengurangan sebanyak 7%, kedua (10%), ketiga (15 %), dan keempat (20%).

Tegasnya, langkah ini terpaksa dilakukan bagi memastikan simpanan air empangan mampu bertahan sehingga akhir Mac.

“Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah diarahkan untuk pro-aktif dalam membantu penduduk yang terjejas.

“Manakala pegawai pelaburan PBT perlu memantau kawasan industri masing-masing bagi memastikan penjadualan ini memberi kesan minima kepada pengilang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata usaha melakukan pembenihan awan akan terus dilakukan pada masa yang sesuai  untuk menghasilkan hujan.

“Kerajaan Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan berharap rakyat akan berhemah dalam penggunaan air,” katanya.

No comments:

Post a Comment