Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan oleh Mahathir Muhamad bekalan air untuk warga diseluruh negara dikendali dan diuruskan oleh PWD - Public Works Department atau Jabatan Kerja Raya – JKR.
 PWD/JKR ini bukan syarikat kroni dan tidak pernah berniat untuk mencari untung. Tidak ada  individu  atau Pun Seri yang memiliki saham dalam  lembaga JKR. Saham JKR  dimiliki oleh seluruh warga Malaysia kerana JKR  ini adalah harta awam.  Jabatan ini bertugas untuk menjaga kebajikan  orang ramai. Berkhidmat  untuk kebajikan semua warga negara adalah niat  dan rukun iman JKR.
  Semuanya berubah apabila dasar penswastaan diperkenalkan. Dasar   penswastaan adalah dasar kapitalis di mana semua hak milik rakyat yang   di bawah jagaan kerajaan dijualkan kepada orang ramai. Sebenarnya penswastaan ini adalah satu projek silap mata dimana harta rakyat disonglap oleh para kroni.
 Caranya bagini:
  Loji air dan semua yang bersangkutan dengan pembekalan air sebelum   penswastaan adalah milik orang ramai. Penswastaan adalah dasar dimana   harta milik orang ramai ini diambil alih dan difaraidkan kepada para kroni, cukong dan mereka yang berduit untuk membeli sham.
  Cara mengfaraidkan harta orang ramai ini kepada kroni cukup senang –  tak  perlu silap mata. Loji dan semua yang bersangkutan dengan air yang awalnya milik   orang ramai ini diubah suai untuk dijadikan sebuah syarikat. Lalu   Menteri Keewangan meletakkan nilai terhadap saham air syarikat ini.
 Kementerian keewangan mengeluarkan pink form. Tertera di pink form inilah jumlah saham yang telah difaraidkan kepada sang kroni. Sang kroni atau kawan atau kenalan Pak Menteri boleh   membawa pink form ini ke bank. Bank dengan berbesar hati akan   menyediakan pinjaman berlandaskan jumlah saham yang tertera di pink   form. Pinjaman dari bank ini untuk membolehkan sang kroni membeli saham   yang akan diapongkan.
 Sebelum ini Menteri Keewangan akan meletakan harga  terhadap   saham air disyarikat baru ini. Biasanya akan dinilai dengan harga yang   agak rendah. Ini untuk memastikan mereka yang dapat anugerah saham dan   pink form akan dapat menjualkan balik dengan harga yang lebih mahal.  Saham ini diapongkan – kerana dinilai  murah -  maka apabila  diapongkan ramai pembeli sanggup membeli dengan harga yang mahal.
  Maka tuan empunya pink form dan tuan empuya saham akan menjualkan saham   dengan harga mahal. Inilah cara dasar penswastaan dimana kaum kerabat,   kroni  dan elit  kawan kawan United Malays National Organisation dapat membuat – bukan mee segera tapi duit segera.
  Justeru – para kroni, anak bini, kaum keluarga dan kawan kawan Pak   Menteri akan jadi kaya raya melalui dasar penswastaan ini. Kerana mereka   semua ini mendapat manafaat maka pastilah mereka akan menyokong dasar   ini  hingga ke liang lahad.
 Tetapi bukankah amat jelas dasar penswastaan – memfaraidkan harta orang ramai - ini adalah kerja merompak di siang hari?
Betul.   Ini satu rompakan resmi melalui penswastaan. Ini adalah dasar yang   diajukan oleh United Malays National Organisation. Rompakan ini juga   menggunakan parlimen untuk menghalalkan cara merembat harta orang ramai.   Inilah caranya bagaimana air rakyat Selangor tetiba dimiliki oleh   syarikat Syabas.
 Kesah rompakan ini diteruskan lagi :
 Untuk memastikan harta rompakan ini  akan terus membawa keuntungan,  United Malays National Organisation telah mengikat  perjanjian dengan Syabas ketika menjual harta rakyat ini. Dalam perjanjian jual beli ini United Malays National Organisation telah memastikan setiap dua atau tiga tahun harga air wajib dinaikkan.
 Kenapa kah ini berlaku? Tidak kah sesiapa nampak akan butir  isi perjanjian ini?
Rompakan ini cukup licik – orang yang merompak dan orang yang membuat  perjanjian   adalah malaon yang sama. Ertinya  Pak Menteri yang bertanggung jawab   membuat perjanjian adalah juga pemegang saham dalam syarikat yang di   swastakan ini. Pelik? Silap mata? Tidak!
  Kalau diselidik nama menteri ini pasti tidak akan ditemui. Menteri ini   bukan bangang. Pak Menteri akan menggunakan pelbagai cara – lihat   bagaimana Khir Toyo menggunakan si pemandu pribadinya untuk menerima   geran tanah seluas 200 ekar. Semua boleh diurus. Ini   dasar Malaysia boleh!
  Perlu diberitahu bahawa surat perjanjian ini tidak pernah diketahui  oleh  orang ramai. Perjanjian antara Syabas dan kerajaan Selangor telah menjadi rahsia dan jatuh di bawah Akta Rahsia Kerajaan. Ini lah cara  si perompak merompak harta orang ramai dan menjaga hasil rompakan mereka.
  Hanya apabila kerjaaan Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat barulah   diketahui semua isi perjanjian ini. Kerajaan Selangor telah membakul   sampahkan Akta Rahsia Kerajaan. Sekarang semua maklumat  kerajaan Selangor boleh ditemui tidak ada lagi yang berahsia rahsia.  Rahsia Syabas sudah kantoi!
 Hari ini kerajaan Pakatan di Selangor ingin mengambil alih kembali syarikat air Syabas. Ertinya  dikembalikan  kepada kedudukan asal dimana air dan semua yang bersangkutan dengan air di Selangor bukan milik syarikat atau saham individu tetapi milik kerajaan. Dari syarikat swasta dikembalikan untuk menjadi hak milik orang ramai sekali lagi.
 Kenapa kerajaan Pakatan Selangor berbuat demikian?
  Semenjak tahun 1997 apabila air di Selangor di swastakan amat jelas   ianya telah merugikan orang ramai. Syarikat air Syabas selama 10 tahun   ini telah dijadikan lombong emas untuk memperkayakan para kroni dan kaum  keluarga. Buktinya amat jelas. Ini bukan fitnah dan tohmah. Bukti ini  muncul dari laporan audit tahunan yang diteliti oleh kerajaan Pakatan  Rakyat Selangor.
 Tahukah warga Selangor dan warga Malaysia anak semua bangsa: bahawa gaji CEO Syabas, Tan Sri Rozali Ismail ialah 5.1 juta ringgit setahun atau 425,000 ringgit  sebulan.  Bayangkan kalau 5 juta ringgit  ini duit lima sen sudah tenggelam seluruh tasik  air di Hulu Langat.
 Perlu juga  diberitahu dari laporan audit ini, syarikat  Syabas ini telah  memberikan 72% kontrek bernilai 600 juta ringgit kepada  syarikat kroni  melalui rundingan sap sap sui. Juga dari laporan yang sama telah diketahui bagaiman 325 juta ringgit ‘tenggelam lesap’ entah kemana.
  Melihatkan ini maka kerajaan Selangor sedang bertempur kuat untuk   mengambil alih kembali kawalan terhadap syarikat Syabas. Sekarang ini   warga Selangor telah  mendapat 20 kubik meter air percuma. Air percuma ini  diberi   ketika Syabas masih lagi syarikat swasta. Bayangkan jika Syabas ini   milik orang ramai. Berapa banyak keuntungan yang dapat kita sama sama   rasa. Bukan hanya Tan Sri Ghazali sahaja yang dapat minum champagne Dom   Perignon – malah seluruh warga Selangor dapat  berenang dengan duit yang telah diselamatkan dari dirompak.
  Apa yang sedang dilakukan oleh kerjaan Pakatan Rakyat di Selangor ini   adalah permulaan untuk mengembalikan hak rakyat. Mengembalikan harta   rakyat yang telah difaraidkan oleh  Mahathir Muhamad dan   konco-konconya. Perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat masih jauh   lagi. Api, lebuh raya, hospital, klinik – adalah diantara harta rakyat   yang telah dirompak melalui dasar penswastaan.
 Orang ramai – anak semua bangsa – tidak ada pilihan melainkan   menolak dasar penswastaan. Amat jelas dasar ini adalah dasar yang  tidak  membawa kebajikan untuk orang ramai. Dasar ini hanya membawa  laba,  untung, kekayaan dan kebajikan untuk pemilik saham.
 Justru marilah kita turun sama berjuang di jalan raya pada 5 Disember ini. Pada hari Ahad yang akan datang ini warga Selangor akan berkumpul di Masjid Negara. Warga Selangor akan bersama Menteri Besar dan pimpinan Pakatan Rakyat  untuk berarak menyampaikan memo kepada Yang Dipertuan Agong. Memo menuntut hak air mereka dipulangkan kembali.
Anak semua bangsa mari kita bersetikawan dan bersolidariti dengan warga   Selangor yang berjuang untuk mendapatkan hak air mereka Hari ini air   Selangor - esok api leterik dan hospital
 yang perlu kita sama-sama perjuangkan. - Malaysia Today